865 : Catatan Terakhir 2018

Tahun 2018 hampir meninggalkan kita. Tak banyak perkara bagus berlaku di tahun 2018, kebanyakkanya perkara yang aku tak berapa nak suka. Walau apa pun, kehidupan di dunia ini perlu diteruskan selagi hayat masih dipinjamkan Allah s.w.t. InsyaAllah diberikan aku kekuatan untuk menempuh tahun-tahun mendatang. 

Azam 2018.

Seperti yang pernah aku maklumkan sebelum ini, bagi tahun 2018 aku berazam untuk tidak berazam. Rasanya tak ada apa yang aku nak capai di tahun 2018. Cukuplah dengan apa yang aku ada sekarang, hidup ala kadar sahaja, janji aku gembira. 

Kehidupan 2018

Tahun 2018 ni bagi aku sama sahaja seperti tahun-tahun lepas. Takda yang menariknya kehidupan aku ni. Rutin macam biasa sahaja, pergi kerja balik kerja tapi tak kaya-kaya. 

Alhamdulillah, sakit kulit di kaki aku nampaknya dah hampir sembuh walaupon tidak mungkin 100% sembuh. Selepas aku ke klinik pakar kulit dengan caj perkhidmatan dan perubatan yang mencecah RM700 itu, sakit aku semakin baik. Kemudian aku perhatikan, ia semakin elok selepas aku mandi laut di Cherating dalam bulan bulan Ogos yang lepas. Betullah kata orang, kalau sakit kulit, pergilah mandi laut dengan berniat kepada Allah s.w.t. agar disembuhkan dari penyakit yang ada, insyaAllah. Bagi aku, Alhamdullilah, sakit kulit di kaki aku semakin baik. Kene berwaspada agar itu tidak menjadi teruk seperti dahulu lagi. Sakit lutut dan tapak kaki yang aku sering alami juga tidak menyerang sekerap dulu. Tahun ini rasanya boleh dikira berapa kali sahaja aku diserang. Itu pon tidak seserius dahulu, sakit tapi masih mampu berjalan. Alhamdulillah sekali lagi, itu sahaja yang sering aku ucapkan sebagai tanda syukur kepada Allah. 

Sekarang aku sudah menetap sepenuhnya di rumah baru aku di Cyberjaya. Aku sudah selesa di sini. Ramai yang bertanya, ayah aku duduk dengan siapa sekarang? Ayah tak mahu ikut, malah tidak mahu duduk dengan adik beradik yang lain. Dia nak duduk di rumahnya di Selayang. Orang tua macam tu lah, lebih selesa di rumah sendiri. Walau bagaimanapun, abang setiap malam akan datang melawat ayah. Adik dan kakak pula boleh dikatakan setiap hujung minggu datang menjenguk. Aku jer yang jarang-jarang balik sekarang. Walau bagaimanapun, aku tidak akan lupa asal usul aku. Kesihatan ayah nampaknya baik cuma sudah tidak seaktif dahulu. Ingatan ayah juga sudah merosot, kadang-kadang anak cucu sendiri pon dia dah tak kenal. Sentiasa aku berdoa untuk kesihatan ayah. Esok nak balik Selayang lah...

Kereta aku, Abang WoTonG sudah habis bayar. Sembilan tahun bersama dan Abang WoTonG telah berkhidmat dengan aku. Sepanjang itu juga tiada masalah serius yang berlaku, Alhamdulillah. Last Abang WoTonG minta ke bengkel adalah pada minggu lepas. Cermin tempat duduk penumpang belakang belah kiri pecah disebabkan terkena batu ketika orang memotong rumput ketika aku berada Chaah minggu lepas. Melilau jugalah nak cari kedai cermin sehingga membawa aku ke Segamat. Apa-apa pon semuanya dipermudahkan. Sebelum itu Abang WoTonG juga telah ke bengkel disebabkan masalah bearing tayar belakang. Sekarang, sudah boleh bernafas sedikit dari segi kewangan. Cuma perlu bayar hutang rumah dan hutang kad kredit sahaja. Dan aku juga sudah boleh menyimpan sedikit untuk hari muka.

Kerja aku masih di situ lagi. Dah tak boleh ke mana. Kalau nak minta transfer ke jabatan lain pon belum tentu dapat. Sekarang ni macam dah takde semangat nak kerja. Mungkin sudah bosan untuk melakukan kerja lagi disebabkan faktor umur yang sudah mencecah kategori veteran. Setiap pagi terasa berat untuk bangun, sentiasa mengeluh walaupon aku tahu tiada gunanya mengeluh itu. Pernah terfikir juga untuk meletak jawatan, tapi aku takde backup dan takda simpanan berjuta untuk aku meneruskan hidup. Nak wat kerja lain pon tak tahu apa yang aku nak lakukan, nak berniaga pon takda skill walaupon modal tu ada la sikit kalau nak mula. Yang paling penting, aku tak berani nak mengambil langkah itu. Masih ada tanggungjawab lain yang perlu aku langsaikan. Tak tahu lah sampai bila boleh bertahan. Kalau nak tunggu pencen pon masih lama lagi nak mencecah usia 60 tahun itu. Sudah merancang untuk bersara pilihan sahaja bila usia sudah mencapai 50 tahun dan meneruskan baki hidup yang dipinjamkan untuk entah berapa lama lagi. Tapi itu semua bergantung kepada keadaan, kalau kerja semakin tenang dan tidak membebankan, mungkin aku akan teruskan, jika tidak, cukuplah 30 tahun aku berkhidmat.

Liburan 2018

Sedih rasanya pada tahun ini tidak dapat berlibur ke destinasi antarabangsa. Tapi semua ini memang sudah dijangka. Masalah kewangan yang meruncing menjadi penyebab utamanya. Apa-apa pun aku pasrah dengan ketentuan ini. InsyaAllah, kalau takda aral melintang di mana-mana, tahun hadapan depan aku ke destinasi antarabangsa, walaupon bukan destinasi bucket list aku. Tiket penerbangan sudah ada, hanya menunggu tarikh penerbangan sahaja. Semoga dipermudahkan, insyaAllah.

Tahun ini banyak melakukan Cuti-Cuti Malaysia sahaja. Antara destinasi yang disinggahi adalah Cherating, Pahang pada bulan Ogos, pulang ke kampung sahabat di Chaah dan Segamat pada bulan September, weekend gateway ke Port Dickson pada bulan November dan jalan-jalan di sekitar Chaah, Labis, Segamat, Yong Peng dan Ayer Hitam, Johor pada bulan Disember. 

Mentari 2018 mengundur diri. Lokasi, Cyberjaya

Semoga tahun 2019 ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan dipermudahkan segalanya untukku. Amin...

You Might Also Like

0 comments