1052 : Catatan Perjalanan - Lori Region, Armenia (Episod Akhir) : Haghpat, Alaverdi Dan Sanahin Dan Sejarah Yang Panjang

... Episod sebelumnya (Episod 1)

One's destination is never a place, but a new way of seeing things - Henry Miller

Destinasi seterusnya dan ke bandar Haghpat yang terletak kira-kira 12km dari Akthala. Sebelum sampai ke Haghpat, kami telah singgah di satu tempat, di bahu jalan di tebing Sungai Debed yang menghadap bandar Alaverdi. Bandar Alaverdi adalah sebuah bandar perlombongan tembaga yang telah dibangunkan sejak zaman pemerintahan Soviet Armenia sehingga sekarang. Dari tebing Sungai Debed itu kami boleh melihat bandar Alaverdi dan kilang pemprosesan tembaga. Ada sebuah sistem cable car di sini yang dikatakan untuk membawa pekerja-pekerja lombong, tetapi cable car tersebut tidak lagi beroperasi. Boleh dilihat terdapat sebuah gondola cable car tergantung di tengah-tengah seolah-olah menanti hari untuk jatuh ke bumi (harap-harap tidak la).



Permandangan sebahagian dari bandar Alaverdi

Sebuah gondola  cable car yang tergantung di tengah laluan.
Tak tahu berapa lama ia telah tergantung di situ.

Sebuah kenderaan yang ditinggalkan di pinggir jalan di Alaverdi.
Tak pasti samada masih berfungsi atau tidak. 
Nak check road tax dia pon tak tau camne. Ahakz..
Jadi port OOTD kami tengahari itu

Perjalanan kami diteruskan hingga ke Haghpat Monastery Complex. Kompleks Biara Haghpat telah dibina sekitar abad ke 10 hingga 13 dan diasaskan oleh Queen Krosrovanuysh permaisuri kepada Bagratid King Ashot III sekitar tahun 976. Antara struktur hebat di kompleks ini ada Cathedral of Surb Nshan. Kompleks Biara Haghpat ini telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bersama-sama dengan Sanahin Monastery pada tahun 1996.

Cathedral of Surb Nshan, struktur terbesar dan tertua 
di Haghpat Monastery Complex 

Bagi aku, ini adalah gambar terbaik aku semasa di Armenia (buat masa ini)

Cuaca cerah tapi tak panas pon, sedap-sedap jer suhunya. 
Boleh pakai t-shirt jer

Menara Loceng (Belltower) yang telah dibina pada tahun 1245

Sebelum kami dibenarkan untuk menjelajah kawasan biara ini sendiri, Maria, Pemandu Pelancong kami telah membawa kami ke satu tempat di mana orang pada zaman dahulu menghasilkan wine. Tidak seperti yang dilakukan sekarang (wine diperam di dalam barrel), orang-orang zaman dahulu memeram wine mereka di dalam lubang-lubang di dalam tanah. Terdapat satu bilik yang besar penuh dengan lubang-lubang ini. Maria juga memaklumkan, disekeliling kawasan biara ini dipenuhi dengan kubur orang-orang zaman dahulu. Adalah tidak menjadi kesalahan jika orang ramai melangkah atau memijak kubur-kubur itu. Katanya, ia adalah satu penghormatan kepada si mati. Sebab itu kita boleh nampak banyak batu-batu nisan hatta di depan pintu-pintu masuk.

Laluan memasuki ke wine cellar, tempat menyimpan 
makanann dan memeram wine 

Kawasan persekitaran biara ini juga menghidangkan permandangan yang cantik dan mendamaikan. Dengan cuaca yang nyaman, adalah sesuai untuk mereka yang suka berOOTD. Disamping Gereja Besar Cathedral of Surb Nshan, terdapat juga struktur lain seperti the Church Sourb Gregor (st. Gregory) dan the Chapel of Sourb Astvatsatsin dan beberapa struktur lain. 



Permandangan di sekitar kawasan Haghpat Monastery Complex yang cantik

Perjalanan kami diteruskan ke Bandar Sanahin yang terletak kira-kira 16km dari Haghpat. Perjalanan ke Sanahin ini menawarkan permandangan yang lebih cantik kerana kita melalui kawasan mendaki ke tanah yang lebih tinggi. Bandar Sanahin ini terletak melebihi 1,000 meter dari aras laut. Permandangan bukit-bukit di sini tidak sama dengan di Malaysia, tiada kehijauan hanya warna-warna tanah dan coklat cerah sahaja saujana mata memandang. 

Kami singgah di Mikoyan's Brothers Museum. Adik beradik Mikoyan merupakan tokoh terkenal berketurunan Armenia-Soviet. Anastas Mikoyan (1895 - 1978) adalah seorang ahli politik dan negarawan Bolshevik berprofil tinggi yang telah memegang jawatan penting dalam era kerajaan Soviet di bawah pemerintahan Lenin, Stalin, Khrushchev dan Brezhnev. Manakala adiknya, Artem Mikoyan (1905 - 1970) merupakan seorang jurutera aeroangkasa dan pereka pesawat terkemuka. Bersama dengan Mikhail Gurevich, mereka telah mengasaskan biro reka bentuk pesawat Mikoyan-Gurevich Design Bureau, atau lebih dikenali sebagai MiG. Biro ini menjadi salah satu organisasi reka bentuk pesawat ketenteraan paling terkenal di Kesatuan Soviet. 

Sebuah papan tanda di Sanahin. Ke kanan menuju je Sanahin Monastery 
dan ke kiri ke Mikoyan's Brothers Museum. Kami pergi ke dua-duanya

Lepak sambil bergosip bersama bos di Mikoyan's Brothers Museum 

Kami hanya menghabiskan masa di kawasan luar muzium sahaja. Kami tidak digalakkan untuk memasuki muzium kerana akan dikenakan caj bayaran masuk yang agak mahal dan pengunjung terpaksa mengikuti guided tour bersama dengan staf muzium. Guided tour ini boleh memakan masa sehingga 2 jam dan dilarang untuk mengambil gambar di dalamnya. Jadi kami hanya lepak-lepak di kawasan luar sahaja.

Di bahagian luar terdapat sebuah pesawat tempur MiG yang pertama iaitu MiG1. Seperti yang sedia maklum, pesawat tempur MiG adalah salah satu pesawat tempur terhebat di dunia keluaran Soviet Union ketika itu. Pesawat tempur MiG1 telah dikeluarkan pada tahun 1940. Sehingga kini, pihak Russia sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan pesawat tempur MiG41 dan dijangka akan diperkenalkan pada tahun 2028. Bagi aku, pesawat tempur MiG yang terkenal adalah MiG29 yang menandingi kehebatan pesawat FA-18 keluaran Amerika. Malaysia juga pernah mengoperasikan sebanyak 18 buah pesawat tempur MiG29 bermula tahun 1995 dan sehingga kini ada diantaranya yang telah dibersarakan oleh pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia.


Pesawat tempur MiG1, model pesawat tempur MiG yang pertama keluaran tahun 1940. 
Sekarang MiG dan nak keluarkan model terbaru, MiG41 pada tahun 2028.

Destinasi terakhir kami adalah ke Sanahin Monastery. Biara ini telah dibina sekitar abad ke 10 dan dikatakan lebih tua dari Haghpat Monastery. Aku tidak menjelajah sekitar biara ini memandangkan aku telah kepenatan. Aku dan seorang teman telah duduk di meja yang disediakan di kawasan biara tersebut. Sebentar kemudian, semua teman yang lain juga turut melepak bersama kami sambil membawa bekalan jajan yang di bawa.


Semua dah penat, kami lepak-lepak sahaja di Sanahin Monastery.

Di Sanahin kami sempat untuk membeli cenderahati Armenia di kedai-kedai penjaja di sana. Sekadar membeli beberapa fridge magnet dengan harga ARD1,000 setiap satu. Menurut salah seorang penjaja di sana, memandangkan waktu itu bukan high season, maka tidak ramai pelancong yang datang.

Trip kami ke Armenia berakhir di Sanahin Monastery. Kami bergerak pulang dan tiba di Tbilisi setelah matahari hari itu terbenam. Bagi aku, Armenia terutama di bahagian Lori Province banyak terdapat kesan peninggalan sejarah yang panjang. Sehari tidak cukup untuk menikmati dan mempelajari sejarah kawasan itu yang berusia ribuan tahun itu.

Gambar kenangan bersama Maria dan Georgi

... bersambung (Episod 9)


You Might Also Like

15 comments

  1. Cantik sungguh permandangan Armenia, patutlah bro kata gambar kat Cathedral of Surb Nshan tu antara gambar terbaik! Walaupun penat menjelajah hobi lepak sambil makan jajan kat Sanahin Monastery tu memang relatable sangat bila travel. Good job selesaikan siri travelog ni!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Permandangan kawasan luar bandar di sini sememangnya cantik dan bg saya permandangan di Haghpat mmg yg terbaik, sayangnya tak banyak gambar permandangan yg diambil.
      Nasib baik juga di Sanahin Monastery tu ade tempat duduk, bole la juga lepak2, makan jajan jer pasal mmg dari pagi tak makan ape2..

      Delete
    2. btw, ada 1 atau 2 episod lagi dalam siri jalan2 di Georgia ni.. nantikan ye..

      Delete
  2. Lawa betul senibina Haghpat Monastery ni! Lokasi hidden gem bersejarah macam ni memang syok buat OOTD. Kereta lama tu pun nampak aesthetic.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Banyak lagi monastery di sana dan saya rasa permandangannya juga tidak cukup hebat. kami dibawa ke monastery yg terkenal sahaja. kereta lama yg tersadai tu tak tau la mmg tersadai atau ada org yg parkir di situ...

      Delete
  3. Diorang tinggal je gondola tu cam tu? Weaw...
    Macam ghost town la tempat ni... hampir macam takde orang...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bandar tu masih lagi berpenghuni uncle, cume cable car tu jer dah stop beroperasi. tapi tak tau plak kenapa dia dianggalkan kat tengah2 tu.. kalau terjatuh di makan usia kan bahaya

      Delete
  4. Bayangkan gi situ memalam, tiba2 gondola tu bergerak sendiri, lori pick up tu menyala lampunya auwwww. Nak bermisitk pulakkkk

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha... bole masuk majalah mastika ni, atau masuk misteri nusantara tv3

      Delete
  5. selesanya berjalan2 ke sana sbb x ramai org pd masa tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sini kawasan luar bandar, jauh dari ibu negara Armenia sebab tu tak ramai orang. seronok juga l;a kalau jalan2 tak ramai orang mcm ni. nak amik gambar pon cantik jer takde org lalu lalang kat belakang

      Delete
  6. Subhanallah. Cantiknya pemandangan di darat dan di atas sanun. Langit biru, dihias awan putih bak kapas. Tenang mata memandang. Duduk santai pun rasa best sangat melihat suasana sekitar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, ditambah pula dengan cuaca yang terik tetapi sejuk dan nyaman. kalau dibentang tilam, bantal dan selimut, mahu terlelap kat situ

      Delete
  7. Cantiknya gabungan tona warna biru langit, putih awan, hijau rumput dan coklat bukit tu. Jadi, gondola cable car tu sebagai hiasan lah kat situ kan. Syoknya kalau masih beroperasi. Dapatlah juga naik gondola cable car tu. Macam nampak tinggi juga.
    Elok pula kereta tu parkir situ. Dapatlah posing bergambar berlatarbelakangkan gondola cable car disamping kereta lama. Jadi cantik gambarnya.
    Bagus tu kalau cuaca cerah tak panas. Macam ni jalan lama-lama pun takpe.
    Dapat jalan-jalan dan lepak di luar pun jadilah kan. Kita baca ni pun dah panjang, apatah lagi nak baca sejarah penuhnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau ke luar negara yang cuacanya sejuk, mmg selalu dapat permandangan macam tu, langit biru dna awan yang tak berapa berawan, cuaca pula cerah terik. kalau kat malaysia, mesti takde orang nak keluar kalau time2 mcm tu..

      Kalau cable car tu masih beroperasi mesti jadi tarikan pelancong di situ .. kereta lama tersadai tepi jalan tu tak tau la masih bertuan atau tidak. ambil gambar bersama kereta tu sebab nak kasi nampak nombor plat nya, baru la nampak kat luar negara...

      Alhamdulillah, sepanjang di Armenia, cuaca mmg terbaik. Di Georgia ada 2 kali hujan, itu pon tidak mengganggu program kami

      Delete