1051 : Catatan Perjalanan - Lori Region, Armenia (Episod 1) : Melintasi Sempadan Darat Dari Georgia ke Republic of Armenia
... Episod sebelumnya (Episod 7)
Hari keenam kami di bumi Georgia. Hari ini kami akan melintasi sempadan darat Georgia-Armenia untuk lawatan sehari ke wilayah utara Armenia iaitu Lori Region. Untuk lawatan sehari ini, kami telah menggunakan satu perkhidmatan agen pelancongan tempatan di Tbilisi iaitu Gamarjoba Georgia Tours. Urusan pertanyaan dan booking semua diuruskan oleh Ketua Kumpulan kami. Kami ditawarkan pakej Day Trip From Tbilisi To Armenia, satu pakej private tour untuk kami berenam, Kami disediakan sebuah kenderaan jenis MPV, seorang pemandu pelancong dan seorang pemandu van dengan bayaran sebanyak USD300. Sepatutnya pakej ini datang dengan sesi makan tengahari dengan hidangan tempatan Armenia bersama penduduk tempatan. tetapi sesi ini terpaksa dibatalkan kerana sukar untuk mendapatkan makanan yang halal.
Untuk memasuki Armenia, rakyat Malaysia perlu untuk memohon E-Visa secara atas talian. Emel kelulusan akan dikeluarkan dalam tempoh tiga hari selepas permohonan lengkap diterima. Bayaran sebanyak USD8 dikenakan untuk setiap permohonan dan tidak dikembalikan sekiranya permohonan tidak diluluskan. Aku telah membuat permohonan pada 23 Oktober 2025 dan kelulusan E-Visa tersebut telah dikeluarkan dan emel kelulusan telah diterima pada 24 Oktober 2025 (sehari sebelum aku berangkat ke Georgia). E-Visa itu sah digunakan untuk 90 hari dari tarikh 30 Oktober 2025 hingga 27 Januari 2026. E-Visa juga perlu dicetak dan diserahkan kepada pegawai imigresen yang bertugas.
Pada pagi itu, pemandu pelancong kami bernama Maria dan pemandu van bernama Georgi telah menunggu kami dihadapan hotel kediaman seperti yang dijanjikan pada pukul 9.00 pagi. Kami telah dibawa dahulu ke pejabat agen pelancongan tersebut yang terletak di Vladimer Meskhishvili St. untuk melangsaikan bayaran pakej. Setelah selesai urusan, kami terus bergerak meninggalkan Tbilisi ke Armenia.
Perjalanan menuju ke sempadan Armenia adalah sejauh lebih kurang 70km memakan masa lebih kurang 2 jam bergantung kepada keadaan jalan. Kami akan memasuki Armenia melalui Bagratashen - Sadakhlo Border Crossing. Kami tiba di Sadakhlo Border Crossing (border crossing bahagian Georgia) lebih kurang pukul 11.00 pagi. Nampaknya sempadan ini tidak sesibuk sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam apatah lagi Johor Bahru memasuki Singapura. Yang banyak kelihatan hanyalah lori-lori besar di kedua-dua belah sempadan. Urusan untuk melepasi sempadan Georgia amat mudah, Tiada apa-apa yang ditanya oleh pegawai yang bertugas dan kami menaiki kenderaan semula untuk ke Bagratashen Border Crossing (bahagian Armenia) pula untuk memasuki Armenia.
Urusan untuk memasuki Armenia juga mudah, tiada soalan yang ditanya, passport kami dicop dan kami semua sah memasuki Armenia. Semasa menunggu urusan masuk kenderaan, kami telah mengambil beberapa gambar kenangan di sempadan, malangnya kami telah ditegur oleh seorang pegawai tentera / polis Armenia yang bertugas di sana. Katanya, tidak boleh mengambil gambar di sini dan meminta kami menghapus semua gambar yang telah diambil. Kami akur untuk mengelakkan sebarang masalah. Hanya gambar saja kan, takpelah. Maria memaklumkan bahawa pegawai tentera / polis di sempadan Armenia agak strict, berbanding di Georgia.
Setelah berjaya melepasi sempadan, kami telah singgah di satu perhentian rehat berhamipiran untuk menukar wang. Maria memaklumkan cukuplah hanya menukar GEL20 jika hanya ingin membeli cenderahati di Armenia. Aku dan sahabat berkongsi untuk menukar GEL50 dan kami telah mendapat AMD7,000 (Armenian Dram). Selepas itu aku telah membeli sebotol Coca-Cola Cherry Cola dengan harga AMD350. Katanya Cherry Cola di sini sedap. Memandangkan aku tak pernah rasa mana-mana Cherry Cola sebelum ini, aku pon tak pasti tang mana yang sedapnya.
Kami meneruskan perjalanan kami ke destinasi pertama iaitu Akhtala, sebuah pekan kecil kira-kira 30km dari Bagratashen. Di Akhtala kami telah singgah di Akhtala Monastery, sebuah Armenian Apostolic Monastery yang merupakan tarikan utama di Akhtala. Biara ini dikatakan telah dibina pada abad ke 10 oleh Kyurikids semasa pemerintahan Kiurike I, Raja Lori pertama. Dikatakan juga, ada sebuah kubu telah dibina mengelilingi biara ini yang telah dijumpai sekitar tahun 1887 - 1889 oleh seorang berbangsa Perancis dan dikatakan telah dibina pada abd ke 8. Selain dari pengaruh Armenian Apostolic Christianity, biara ini juga mempunyai pengaruh Ortodox Georgian Christianity. Biara ini tidak lagi aktif digunakan.
Struktur utama di dalam Akhtala Monastery Complex ini adalah The Church of the Holy Mother of God. Apa yang menarik tentang gereja ini adalah ia mempunyai pengaruh-pengaruh Georgian Chalcedonian Orthodoxy dan Apostoloc Armenian Orthodoxy (tak pasti plak apa pengaruhnya). Ia juga dihiasi dengan fresco-fresco bersejarah di dalamnya.
Aku sempat masuk ke dalam gereja ini dan ini merupakan kali pertama aku memasuki gereja. Sejujurnya aku berasa agak seram kerana suasana gereja lama yang agak suram dan gelap. Terdapat hanya beberapa orang di dalam gereja yang aku agak juga pengunjung dan pelancong.
Setelah berpuas hati menikmati permandangan kawasan biara yang sememangnya cantik dan mendamaikan, kami bergerak ke destinasi kami yang seterusnya.
... bersambung (Episod 2)

















0 comments