1053 : Catatan Perjalanan - Tbilisi, Georgia (Episod 8) : The Chronicle of Georgia dan Mtskheta the Old Capital

 ... Episod sebelumnya (Episod Akhir)

First of all, sebelum aku sambung cerita aku, aku ingin mengucapkan ucapan, 

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia 2026 : 
Malaysia MADANI, Kesejahteraan Dinikmati

kepada semua rakyat Malaysia

____________________________________________________

Hari ketujuh dan kami telah kembali dari Armenia ke Georgia semula. Aktiviti untuk hari ini diteruskan. Kami telah bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan seorang pemandu Bolt yang kami temui semasa kami mula-mula tiba di Tbilisi tempoh hari. Kami menggunakan perkhidmatan pemandu itu yang bernama Arasthun untuk menziarahi tempat-tempat menarik lain disekitar Tbilisi. Harga yang telah kami persetujui adalah sebanyak GEL200 dari pagi sehingga ke petang.

Arasthun tiba di hotel kediaman kami tepat pada waktu yang dijanjikan iaitu pada pukul 10.00 pagi. Destinasi pertama yang akan kami kunjungi adalah The Chronicle of Georgia. The Chronicle of Georgia terletak lebih kurang 15km dari hotel kediaman dan perjalanan memakan masa lebih kurang 45 minit.

The Chronicle of Georgia. Terpaksa menaiki anak tangga 
yang tinggi untuk sampai ke atas. Ramai juga pengunjung pada pagi itu

Agak besar binaan ini bila sudah sampai di atas.

The Chronicle of Georgia (საქართველოს მატიანე / Sakartvelos Mat'iane) juga dikenali sebagai History Memorial of Georgia. Telah dibina pada tahun 1985 oleh seorang pengukir berbangsa Georgia bernama Zurab Tsereteli dan terletak atas di Keeni Hill berhampiran Tbilisi Sea. Monumen ini dikatakan masih belum siap sepenuhnya. Terdiri dari 16 buah tiang setinggi 30 hingga 35 meter dan diperbuat dari tembaga. Monumen ini memaparkan figura raja-raja dan permaisuri serta wira-wira dan juga kisah-kisah dari kehidupan Jesus Christ. 

Sebahagian besar monumen ini adalah berkaitan dengan agama Kristian dan St. Nino, seorang tokoh wanita yang menyebarkan Kristian di Georgia. Georgia telah dijadikan sebuah negara Krisitan pada tahun 337M apabila Raja Mirian III mengisytiharkan Kristian sebagai agama rasmi negara.



Berjalan-jalan sekitar The Chronicle of Georgia. 

  
Beberapa permandangan lain di dalam binaan The Chronicle of Georgia

 
 
Tbilisi Sea. Walaupun namanya Tbilisi Sea tetapi ia bukan sebuah laut. 
Tbilisi Sea adalah satu kawasan tadahan air / reservoir seluas 11.6 km persegi
yang membekalkan air ke kawasan sekitar

The Church of the Annunciation yang dibina di kawasan 
The Chronicle of Georgia untuk memperingat jasa St. Nino

Setelah meluangkan masa yang agak lama di sana, kami bergerak menuju ke destinasi kami yang seterusnya iaitu bandar Mtskheta. Bandar ini terletak kira-kira 20km dari The Chronicle of Georgia dan memakan masa lebih kurang 30 minit untuk sampai. 

Bandar Mtskheta (მცხეთა) terletak di pertemuan antara dua sungai iaitu Sungai Kura dan Sungai Aragvi. Menurut penemuan arkeologi, bandar ini dikatakan antara bandar tertua yang masih didiami oleh manusia di dunia sejak antara abad kedua sebelum masihi dan pertama masihi. Menurut The Georgian Chronicles (Himpunan utama teks sejarah Georgia dari Zaman Pertengahan) pula, Mtskheta telah diasaskan oleh Mtskhetos, anak kepada Kartlos (Georgian Mythology). Mtskheta juga pernah menjadi pusat kepada Georgian Kingdom of Iberia dari tahun ke tiga sebelum masihi hingga tahun ke lima masihi. Bandar ini juga dikatakan pernah ditawan oleh Iskandar Zulkarnain. Bandar Mtskheta juga telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1994.

Mtskheta Market Street. Banyak kedai-kedia menjual cenderahati 
di sepanjang jalan ini. Terdapat juga banyak cafe dan restoran.

Sebuah bandar yang bersejarah dan cantik dan aktiviti utama kami di sini adalah membeli belah. Terdapat banyak kedai-kedai menjual cenderahati pelbagai jenis sepanjang jalan utama di situ. Bagi aku, kalau nak mencari cenderahati, lebih baik di sini kerana terdapat lebih banyak peniaga, oleh itu banyak pilihan dan boleh juga untuk tawar menawar. 

Lepak-lepak di satu kedai sambil menunggu rakan-rakan lain yang masih 
lagi membeli-belah. Dapat free Turkish Coffee sebab kami banyak 
memborong dekat kedai kakak ni. 

Turkish Coffee. Siapa yang suka kopi pahit bole la cube. 

Mostly peniaga di sini agak ramah dan mesra. Keramahan seorang pemilik kedai di sini menyebabkan kami memborong banyak cenderahati di kedainya sehingga kehabisan stok, menyebabkan kakak itu terpaksa mencari di kedai lain. Kerana kami memborong di kedainya, maka di'offer'nya kami Turkish Coffee sorang secawan. Akibat keramahan ini juga, tak tahu apa puncanya, kami telah menemui seorang rakan kami sedang lawan main dam/catur (aku pon tak ingat dah lawan ape) dengan tokey kedai. Akhirnya, tokey kedai kalah dan terpaksa memberi hadiah kepada kami berupa fridge magnet sorang satu. 

Ada sorang pakcik Georgia tu tegur aku, tapi aku tak paham dia cakap apa. Pastu dia tunjuk-tunjuk kat kopiah aku tu. Mungkin dia puji kopiah aku tu cantik kot, pastu terus dia nak kawinkan aku ngan anak dia.. hahaha... Aku beli kopiah tu dekat kedai kakak ni, susah betul nak cari yang takde lambang salib, ini salah satu di antara dua yang meyakinkan takde lambang salib atau yang seumpama dengannya.

Svetitskhoveli Cathedral berhampiran Mtskheta Square. Dekat dengan kedai kakak. Kopiah aku tu bukan pakcik Georgia tu sorang je yang tegur, pemandu Bolt kami pon tegur gak, pastu ada seorang di hotel pon tegur. Diaorang tak pernah tengok orang pakai kopiah ke? Hehehe...

Setelah menghabiskan beberapa ratus GEL dan berpuas hati dengan apa yang kami dapat, kami meminta diri untuk destinasi seterusnya. Di dalam perjalanan, Arasthun telah berhenti di sebuah tempat meletak kenderaan overlooking sebuah kubu di atas bukit bernama Bebris Tsikhe. Kubu ini telah dibina untuk melindungi Mtskheta dan Tbilisi dari musuh di utara. Salah satu menara di kubu ini telah dikatakan telah roboh dan dibina semula pada abad ke 18. Dari kejauhan kubu ini nampak menarik tetapi kami tidak dibawa ke sana untuk melihat lebih lanjut. 

Bebris Tsikhe Fort dari kejauhan

Kenderaan dan pemandu kami sepanjang hari ini. Pemandu kami seorang 
yang sudah berusia maka dia tidak bole berbahasa Inggeris, j
adinya komunikasi kami macam ayam itik, sorang cakap Georgia 
sorang lagi cakap Kelantan.

Perjalanan kami bersambung melalui jalan berliku yang sunyi mendaki bukit ke Jvari Monastery (ჯვრის მონასტერი). Monastery ini terletak kira-kira 16km dari Mtskheta di atas Jvari Mount. Biara ini adalah sebuah Georgian Orthodox Monastery yang dibina sekitar abad ke enam. Biara ini juga telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1994.

Jvari Monastery dari Bandar Mtskheta 

Nak naik ke monastery ini pon nak kene naik bukit. Tak larat dah aku nak naik. 

Oleh kerana aku sudah kepenatan dan tidak larat rasanya nak mendaki bukit untuk ke biara itu, aku hanya lepak di kawasan parkir sahaja. Kawan-kawan lain semua mengambil peluang untuk naik. Bila tengok gambar-gambar yang cantik, rugi pula tak naik ke atas..

gambar Google

... bersambung (Episod 9)

You Might Also Like

0 comments