1051 : Catatan Perjalanan - Lori Region, Armenia (Episod 1) : Melintasi Sempadan Darat Dari Georgia ke Republic of Armenia

 ... Episod sebelumnya (Episod 7)

Hari keenam kami di bumi Georgia. Hari ini kami akan melintasi sempadan darat Georgia-Armenia untuk lawatan sehari ke wilayah utara Armenia iaitu Lori Region. Untuk lawatan sehari ini, kami telah menggunakan satu perkhidmatan agen pelancongan tempatan di Tbilisi iaitu Gamarjoba Georgia Tours. Urusan pertanyaan dan booking semua diuruskan oleh Ketua Kumpulan kami. Kami ditawarkan pakej Day Trip From Tbilisi To Armenia, satu pakej private tour untuk kami berenam, Kami disediakan sebuah kenderaan jenis MPV, seorang pemandu pelancong dan seorang pemandu van dengan bayaran sebanyak USD300. Sepatutnya pakej ini datang dengan sesi makan tengahari dengan hidangan tempatan Armenia bersama penduduk tempatan. tetapi sesi ini terpaksa dibatalkan kerana sukar untuk mendapatkan makanan yang halal.

Harga petrol di Georgia pada 30 Oktober 2025.
Mahal juga harga petrol di sana kan...

Untuk memasuki Armenia, rakyat Malaysia perlu untuk memohon E-Visa secara atas talian. Emel kelulusan akan dikeluarkan dalam tempoh tiga hari selepas permohonan lengkap diterima. Bayaran sebanyak USD8 dikenakan untuk setiap permohonan dan tidak dikembalikan sekiranya permohonan tidak diluluskan. Aku telah membuat permohonan pada 23 Oktober 2025 dan kelulusan E-Visa tersebut telah dikeluarkan dan emel kelulusan telah diterima pada 24 Oktober 2025 (sehari sebelum aku berangkat ke Georgia). E-Visa itu sah digunakan untuk 90 hari dari tarikh 30 Oktober 2025 hingga 27 Januari 2026. E-Visa juga perlu dicetak dan diserahkan kepada pegawai imigresen yang bertugas.

E-Visa yang telah diluluskan. Sila print dan dibawa 
bersama semasa masuk ke Armenia

Pada pagi itu, pemandu pelancong kami bernama Maria dan pemandu van bernama Georgi telah menunggu kami dihadapan hotel kediaman seperti yang dijanjikan pada pukul 9.00 pagi. Kami telah dibawa dahulu ke pejabat agen pelancongan tersebut yang terletak di Vladimer Meskhishvili St. untuk melangsaikan bayaran pakej. Setelah selesai urusan, kami terus bergerak meninggalkan Tbilisi ke Armenia. 

Perjalanan menuju ke sempadan Armenia adalah sejauh lebih kurang 70km memakan masa lebih kurang 2 jam bergantung kepada keadaan jalan. Kami akan memasuki Armenia melalui Bagratashen - Sadakhlo Border Crossing. Kami tiba di Sadakhlo Border Crossing (border crossing bahagian Georgia) lebih kurang pukul 11.00 pagi. Nampaknya sempadan ini tidak sesibuk sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam apatah lagi Johor Bahru memasuki Singapura. Yang banyak kelihatan hanyalah lori-lori besar di kedua-dua belah sempadan. Urusan untuk melepasi sempadan Georgia amat mudah, Tiada apa-apa yang ditanya oleh pegawai yang bertugas dan kami menaiki kenderaan semula untuk ke Bagratashen Border Crossing (bahagian Armenia) pula untuk memasuki Armenia.

Sadakhlo Border Crossing, Georgia

Di pintu masuk untuk pemeriksaan imigresen dan kastam 
untuk melepasi sempadan ke Armenia

Urusan untuk memasuki Armenia juga mudah, tiada soalan yang ditanya, passport kami dicop dan kami semua sah memasuki Armenia. Semasa menunggu urusan masuk kenderaan, kami telah mengambil beberapa gambar kenangan di sempadan, malangnya kami telah ditegur oleh seorang pegawai tentera / polis Armenia yang bertugas di sana. Katanya, tidak boleh mengambil gambar di sini dan meminta kami menghapus semua gambar yang telah diambil. Kami akur untuk mengelakkan sebarang masalah. Hanya gambar saja kan, takpelah. Maria memaklumkan bahawa pegawai tentera / polis di sempadan Armenia agak strict, berbanding di Georgia. 

Gambar selepas melepasi sempadan Armenia. 
Jauh sedikit dari kawalan sempadan.

Setelah berjaya melepasi sempadan, kami telah singgah di satu perhentian rehat berhamipiran untuk menukar wang. Maria memaklumkan cukuplah hanya menukar GEL20 jika hanya ingin membeli cenderahati di Armenia. Aku dan sahabat berkongsi untuk menukar GEL50 dan kami telah mendapat AMD7,000 (Armenian Dram). Selepas itu aku telah membeli sebotol Coca-Cola Cherry Cola dengan harga AMD350. Katanya Cherry Cola di sini sedap. Memandangkan aku tak pernah rasa mana-mana Cherry Cola sebelum ini, aku pon tak pasti tang mana yang sedapnya. 

Matawang Armenia, Armenian Dram (AMD)

AMD5,000 (belakang). Masih berbaki AMD1,000
simpan saja sebagai koleksi wang asing yang ada dalam simpanan

Kami meneruskan perjalanan kami ke destinasi pertama iaitu Akhtala, sebuah pekan kecil kira-kira 30km dari Bagratashen. Di Akhtala kami telah singgah di Akhtala Monastery, sebuah Armenian Apostolic Monastery yang merupakan tarikan utama di Akhtala. Biara ini dikatakan telah dibina pada abad ke 10 oleh Kyurikids semasa pemerintahan Kiurike I, Raja Lori pertama. Dikatakan juga, ada sebuah kubu telah dibina mengelilingi biara ini yang telah dijumpai sekitar tahun 1887 - 1889 oleh seorang berbangsa Perancis dan dikatakan telah dibina pada abd ke 8. Selain dari pengaruh Armenian Apostolic Christianity, biara ini juga mempunyai pengaruh Ortodox Georgian Christianity. Biara ini tidak lagi aktif digunakan.

I 💗Akhtala

Pintu masuk ke Akhtala Monastery

Aku rasa bangunan ini adalah di antara kubu 
yang dibina sekeliling biara ini.

Struktur utama di dalam Akhtala Monastery Complex ini adalah The Church of the Holy Mother of God. Apa yang menarik tentang gereja ini adalah ia mempunyai pengaruh-pengaruh Georgian Chalcedonian Orthodoxy dan Apostoloc Armenian Orthodoxy (tak pasti plak apa pengaruhnya). Ia juga dihiasi dengan fresco-fresco bersejarah di dalamnya.

The Church of the Holy Mother of God dari kejauhan. 
Cuaca sangat baik hari itu, serah sampai ke petang


The Church of the Holy Mother of God

Aku sempat masuk ke dalam gereja ini dan ini merupakan kali pertama aku memasuki gereja. Sejujurnya aku berasa agak seram kerana suasana gereja lama yang agak suram dan gelap. Terdapat hanya beberapa orang di dalam gereja yang aku agak juga pengunjung dan pelancong.

Pertama kali memasuki gereja. Sejujurnya agak seram rasanya

Sunyi dan kelam sahaja suasana dalam gereja ini.

Setelah berpuas hati menikmati permandangan kawasan biara yang sememangnya cantik dan mendamaikan, kami bergerak ke destinasi kami yang seterusnya. 


... bersambung (Episod 2)

You Might Also Like

18 comments

  1. Dia tak kurangkan fee tu ek sebab tak da lunch. Sekarang ni mana-mana negara pun kena isi E-visa. Mudah boleh isi online je. Tapi leceh juga kena cetak.
    Okaylah tu kan tak sesesak sempadan Thailand atau Singapore. Kalau tidak jenuh tunggu. Cantiknya cuaca haritu, Langit cerah membiru. Suasana pun tenang je. Strict betul ek. Takpelah kan, undang-undang negara dia, kita follow je lah.
    Cantik duitnya macam baru dan berkualiti kertasnya. Kena simpan buat kenangan. RM50 lebih macam tu kan.
    Cantik-cantik permandangannya. Tengok gambar pun nampak seram suasana dalam gereja tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. rasanya mcm takde kurangkan pon fee tu. tak pasti plak sbb semua kawan yg uruskan..
      e-visa tu kira ok lah, drp kene apply visa. lagi leceh dan makan masa dan belanja
      sempadan tak sesak pon rasanya tak ramai org yg bekerja atau berjalan2 antara dua negara tu. dengarnya ketiga2 negara caucasus ni mmg ade konflik antara satu dengan yg lain
      duit armenia tu tak sempat pegang lama dan tak sempat nak belek2. nasib la ade baki AMD1000, bole la buat kenangan simpan dalam album
      permandangan di sana memag cantik, tak terdpat di malaysia..

      Delete
  2. Sebut tentang Armenia teringat tentang Armenian Quarter Ddi Old City Baitulmaqdis. Saya nak study sejarah 🇦🇲

    ReplyDelete
    Replies
    1. Armenian quarters tu tmpt tinggal orang armenia di sana ke?

      Delete
  3. Mungkin sebab gereja tu lama, tu yg rasa seram... Tapi uncle suka je tengok seni arkitek diorang...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lama, gelap dan suram... tu yang buat menyeramkan.. Sunyi plak tu

      Delete
  4. Syukurlah perjalanan melintas sempadan itu dipermudahkan. Mungkin mrka pun pelik tgok org Melayu dtg melancong ke negara mereka..

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak pasti lah ramai tak melayu yang datang ke daerah sini. Masa di Tbilisi tak jumpe org melayu lain, pelancong indonesia ade la..

      Delete
  5. USD300.00 untuk semua org kira murah juga la.. sayang nya tak dapat nak sediakan makanan halal.. dapat pulak rasa masakan rakyat tempatan Armenia.. ok visa USD8.00 kalau tak lulus burn cenggitu jer huhu.. syukur lah lulus..🤲🏻

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itu lah, rasa rugi juga tak dpt peluang merasa masakan tempatan dan makan dengan orang tempatan. Lagi pon komuniti Islam di sini sangat sedikit. Senang juga rasanya nak dpt e-visa Armenia tu.. semua kawan2 lain pon lulus... Alhamdulillah

      Delete
  6. Biasa semua kawasan di sempadan mmg tak boleh ambil gambar... Kema tegur ok lagi saya pernah kena saman di afrika dulu.. tapi saman takde resit 😅.. cantik view pemandangan situ.. church tu mmg klasik betul..

    ReplyDelete
    Replies
    1. gambar di luar jer, bukan amik gambar di kaunter imigresen. Takpe lah, amik pengajaran jer.. saman di afrika tu macam kene scam jer, bukan saman kalau takde resit...

      Delete
  7. Perjalanan melintasi sempadan darat macam ni memang pengalaman yang mahal! Bab kena tegur dengan pegawai tentera bab ambil gambar tu memang pengajaran betul, bernasib baik tak kena tahan atau apa-apa. Btw, terliur pula nak tahu rasa Cherry Cola Armenia tu, rare sungguh!

    ReplyDelete
    Replies
    1. selama ni sy melepasi sempadan darat ke Thailand dan Singapore sahaja, kali ni dpt perluang melepas Georgia dan Armenia pula, mmg pengalaman baru siap kene tegur ngan polis/tentera sempadan. nasib baik masalah tak berlarutan. Pemandu pelancong kami pon kene tegur, kesian dia.. hehehe

      Rasa cherry cola tu mcm takde beza pon mcm coca cola biasa, tak tau la, sy yg tak pandai bezakan kot..

      Delete
  8. jauh berjalan tuuh.,
    salam maulidur rasul ., aminn

    ReplyDelete
    Replies
    1. jauh perjalanan luas permandangan

      salam maulidur rasul..

      Delete