1036 : Catatan Perjalanan Cuti-Cuti Malaysia : Pulau Langkawi, Kedah (Episod 2) - Dari Air Terjun Telaga 7 Ke Pantai Pasir Hitam
... episod sebelumnya (episod 1)
If the path be beautiful, let us not ask where it leads - Anatole France
Hari kedua kami di pulau lagenda, Pulau Langkawi, Kedah, Darul Aman. Oleh kerana trip kami kali ini tiada perancangan awal, maka kami hanya santai-santai sahaja pagi itu. Perancangannya nak ke Air Terjun Telaga 7, satu tempat pelancongan menarik di Langkawi. Dah beberapa kali ke Langkawi, tapi tidak pernah berkunjung ke sini. Maka, ini kali lah kite menjejakkan kaki di Air Terjun Telaga 7.
Kami memandu hingga ke Pekan Kuah untuk bersarapan pagi. Jauhnya perjalanan untuk bersarapan hingga ke Pekan Kuah. Bukannya apa, semua tempat sarapan pagi yang di temui melalui waze sama ada tutup atau pon tidak menarik. Susah nak parkir pon satu hal juga. Akhirnya kami berhenti sahaja di sebuah kedai di tepi jalan yang agak meriah dengan pelanggan. Menu biasa sahaja, Nasi Lemak dan Roti Canai dengan segelas Teh Ais. Makan pula tatkala hujan turun dengan lebat pagi itu, Nasib baik dah sampai kedai, kalau tidak, tak sarapan la jawab nye.
Alhamdulillah, hujan lebat pagi itu tidak lama. Reda sahaja hujan kami terus memandu ke tempat yang dituju yang agak jauh juga dari Pekan Kuah. Sesampai di sana, suasana agak mendamaikan. Masih tidak ramai pengunjung waktu itu, mungkin kerana masih pagi atau memang hari itu weekday, maka tak ramai pengunjung.
Caj RM2 dikenakan untuk parkir kenderaan. Kawasan parkir masih lagi lengang, hanya nampak kami bertiga sahaja. Kami membawa sedikit makanan untuk dimakan di kawasan air terjun itu tapi ditegah oleh penjaga parkir di situ. Banyak monyet di atas katanya, takut diserang dan dirampas makanan itu.
Perjalanan dari bawah ke kawasan air terjun agak jauh dan sedikit mendaki walaupon disediakan denai berjalan kaki yang selesa. Penat juga terasa mendaki anak-anak tangga di situ. Kami singgah di kawasan perkelahan paling bawah, tak sanggup rasanya untuk terus ke atas lagi. Kawasan di bawah ini pon sudah cukup cantik dan selesa sebab tak ramai pengunjung. Di kawasan ini boleh nampak air terjunnya yang tinggi. Kuantiti air agak sedikit walaupon hujan pagi tadi. Kawasan agak luas dan ada kemudahan tandas untuk membuang air atau bersalin pakaian. Kami hanya berkelah dan mandi manda di sini. Disebabkan tidak ramai pengunjung, kawasan itu ibarat kami yang punya.
Setelah puas hati, kami mohon permisi dan turun semula ke bawah. Perjalanan kami turun ke bawah diperhatikan oleh ribuan mata dengan renungan yang tajam. Sekumpulan monyet sedang menanti disepanjang jalan untuk menyerang mana-mana pengunjung yang membawa makanan. Cuak juga aku kalau diserang monyet-monyet itu, haiwan ni kan unpredictable kelakuannya. Memandangkan kami tidak membawa apa-apa makanan, kami tenangkan diri turun ke bawah. Alhamdulillah, selamat.
Di bawah kami singgah di salah satu tandas yang disediakan untuk mandi dan bersalin pakaian, Tandas biasa-biasa sahaja tetapi bersih untuk digunakan (tandas berbayar tapi tiada pekerja pula masa tu, oleh kerana kami ni rakyat yang jujur kami tinggalkan jer wang atas meja depan tandas tu). Kami keluar dari kawasan air terjun itu untuk mencari makan tengahari pula memandangkan sudah masuk waktu makan tengahari.
Kami singgah di salah sebuah tempat makan yang agak viral juga, tapi aku dah lupa namanya, kalau tak silap HBL Food Corner. Tempat ini agak popular dengan menu-menu makan tengahari dari lauk-lauk kampung hingga ke ikan bakar. Oleh kerana kami dah terlewat untuk makan tengahari, makanya kami makan sahaja apa yang masih ada. Alhamdulillah untuk rezeki hari itu. Selesai bersantapan, kami telah singgah di salah sebuah kedai menjual produk-produk berasaskan gamat. Lupa sudah nama kedai ni, tapi agak besar jugalah kedai dia, dah macam RnR nampaknya. Kami telah membeli beberapa jenis produk berasaskan gamat dan minyak-minyak angin panas sekadar menyokong pertumbuhan ekonomi masyarakat tempatan. Dah sampai Langkawi, harus la beli gamat sebagai buah tangan.
Selepas itu kami telah memandu tanpa hala tujuan sehingga menbawa kami ke Kompleks Kraf Langkawi. Pertama kali kami menjejakkan kaki di sini setelah beberapa kali sampai di Langkawi ni. Kawasan kompleks ini sangat besar dan terbahagi kepada beberapa bahagian seperti bahagian batik, lukisan, kraftangan dan sebagainya. Bagi aku tempat ini amat menarik kerana kita boleh melihat hasil kerajinan tangan masyarakat tempatan yang ada diantaranya yang kita tak tahu pon. Di sini juga pengunjung boleh membeli barang-barang yang dipamerkan. Tidak ramai pengunjung semasa kami di sana. Sepatutnya, PBT membuat promosi yang lebih bagus untuk menarik lebih ramai pengunjung terutama pelancong asing ke sini.
Di sini aku hanya membeli sebuah kraftangan berbentuk kaligrafi Allah dan Muhammad dari kayu dan sahabat pula membeli sebuah mangkuk buatan tangan yang unik. Nak buat makan meggi katanya.
Aktiviti petang hari itu, kami telah lepak di Pantai Pasir Hitam yang terletak tidak jauh dari Kompleks Kraf. Pertama kali juga aku sampai ke pantai ini. Orang kata, nama Pantai Pasir Hitam ini diberikan kerana pasir pantainya yang berwarna hitam. Maka benarlah kata-kata orang itu, memang pasir pantainya berwarna hitam tetapi bukan semuanya butir-butir pasirnya berwarna hitam, ada yang berwarna seperti pantai-pantai yang lain. Pandangan pertama aku, pantai ini tidak dijaga dengan baik kerana tidak begitu bersih tidak seperti Pantai Cenang dan sebagainya. Air lautnya juga nampak seperti tidak bersih, mungkin kerana pasir pantainya yang berwarna hitam, maka air laut juga nampak keruh dan tidak bersih. Pengunjung juga tidak ramai, hanya kelihatan beberapa orang kanak-kanak yang aku agak penduduk tempatan yang mandi-manda pada waktu itu.
Terdapat juga sebuah medan niaga berhampiran pantai itu tetapi nampak seperti tidak terurus dengan baik. Kawasan yang agak kotor, sampah yang tidak terurus dan banyak kedai yang usang dan tidak beroperasi. Nak duduk minum di satu-satunya gerai yang buka di situ pon macam takde selera melihatkan keadaannya. Sayang sekali ...
... bersambung (episod 3)
2 comments
Cantiknya air Terjun Telaga 7 tu. Mujurlah monyet² tu tak menyerang. Betul, dorang ni unpredictable perangainya. Kalau dah ramai-ramai lagi agresif. Dorang rampas makanan takpe lagi. Kalau rampas barang-barang kita. Nayaaa.. Okaylah trip kali ni pergi di tempat-tempat yang tak pernah jejak lagi. Dalam banyak-banyak tempat yang awak pergi ni, satu je tempat saya pernah jejak. Pantai Pasir Hitam. Dulu tak ada trend buai macam ni. Pantainya masih cantik bersih. Kalau tak terjaga, begitulah jadinya kan. Hilang sudah identiti tempat menariknya.
ReplyDeleteSalam singgah ,first follow blog awak ya
ReplyDelete