1045 : Catatan Perjalanan - Tbilisi, Georgia (Episod 5) : Meidan Bazar & Leghvtakhevi Canyon

 ... Episod sebelumnya (Episod 4)

Hari ketiga kami di bumi Caucasus, Georgia. Pagi ini, rakan-rakan yang lain telah memulakan program training masing-masing. Oleh itu, pagi ini aku bergerak secara solo. Mengikut pelan, pagi ini aku hendak ke Meidan Bazar, sebuah bazar yang agak popular dikalangan pelancong di Tbilisi Old Town. Bazar ini terletak tidak jauh dari hotel kediaman kami, lebih kurang 10 minit berjalan kaki sahaja. Tapi sebelum itu, seperti biasa, kite bersarapan pagi dahulu di hotel. Makan seadanya sahaja.

Pintu masuk utama ke Historical Shopping
Center Meidan Bazar dari 
Vakhtang Gorgasali Square

Meidan Bazar, Tbilisi, Georgia 

Suasana di hadapan Meidan Bazar

Historical Shopping Center Meidan Bazar adalah sebuah bazar ditengah Tbilisi Old Town yang dikatakan telah wujud sejak abad ke-17 sebagai sebuah pusat perdagangan ketika itu. Keistimewaan Meidan Bazar adalah ianya terletak di bawah tanah dan pintu masuk ke bazar ini terletak berhampiran Vakhtang Gorgasali Square. Terdapat sebuah lagi satu pintu masuk lain yang aku tak pasti masuknya dari mana. 

Memasuki bazar ini terasa seperti memasuki ke bazar di masa lampau. Suasana dalam bazar dengan design klasik dan penataan cahaya yang malap mewujudkan satu suasana yang berbeza. Dimainkan pula muzik-muzik klasik dan tradisional yang sayup-sayup kedengaran menambahkan lagi estetika yang sukar digambarkan. 

Permandangan di dalam Meidan Bazar

Beberapa orang pengunjung di dalam Meidan Bazar

Padat dengan barangan jualan sehingga ke siling

Wine Section. Pelbagai jenis wine dijual di sini.
Tak perhati pula harganya berapa. Untuk pengetahuan, 
Georgia adalah salah satu negara pengeluar 
wine terbesar di dunia (katanya).

Banyak barangan yang didagangkan di sini dan boleh dikatakan di sini adalah salah satu tempat untuk mendapatkan cenderahati Georgia untuk dibawa pulang ke Malaya. Antara barangan yang dijual adalah seperti wine, rempah ratus, barangan kerja tangan tempatan, cenderahati, dan pakaian sekadar menyebutkan beberapa. Dari segi harga, boleh dikatakan ada barang yang kita boleh dapat lebih murah di tempat lain. Tapi lebih baik jika bole dibuat perbandingan sendiri.

Sebahagian barangan yang dijual di sini.
Kebanyakkan adalah rempah ratus dan bahan-bahan
masakan yang digunakan di Georgia. 
Bau rempah semerbak bahagian ini.

Sebahagian lagi barangan yang dijual.
Peminat barangan antik boleh la berkunjung ke sini

Memandangkan bazar ini adalah salah satu tempat tumpuan pelancong, maka agak ramai pelancong tatkala aku berada di sana. Aku tidak membeli apa-apa di Meidan Bazar pada hari ini, kerana tujuan aku hanyalah untuk survey barangan dan harga di sini dahulu. Kalau tak dapat barang yang dikehendaki atau harga lebih mahal di tempat lain, maka aku akan datang lagi ke sini. Tak jadi masalah sebab dekat jer penginapan aku dengan bazar ni.

Aku meninggalkan Meidan Bazar setelah berpuas hati dengan apa yang aku lihat dan apabila keadaan menjadi bertambah hangat. Aku lepak sebentar di Vakhtang Gargosali Square sambil people watching. Ramai juga pelancong di kota ini dengan tujuan masing-masing. Tiba-tiba kedengaran pula orang berbual dalam bahasa yang aku fahami, rupa-rupanya ada pelancong dari Indonesia di sini, tapi aku tidaklah menegur mereka kerana mereka berkumpulan.

Aku berjalan pula menuju ke kawasan di hadapan Orbeliani Bath House untuk menikmati permandangan di Abano St. tengahari itu sambil melihat-lihat cenderahati yang dijual di situ. Nampaknye, cenderahati seperti fridge magnet di sini tidak berapa menarik.

Semasa sedang lepak-lepak melayan perasaan di hadapan Orbeliani Bath House, aku melihat ramai pengunjung yang melintasi Bridge of Love dan menuju ke arah belakang bath house itu. Ada apa agaknya, kataku sendiri. Mungkin banyak cafe hipster kot kat sana. Bagus juga kalau ada cafe-cafe hipster ni, aku pon lama tak pekene coffee, dan yang penting lama dah tak minum air sejuk yang berais. Gatal dah rasa tekak ni nak minum air berais. Susah betul nak cari cafe kat sini macam Starbuck atau seumpamanya, adakah memang takde atau aku yang tak jumpe?

Lepaking di hadapan sebuah bath house yang popular di
Tbilisi Old Town kerana senibinanya yang menarik iaitu 
Orbeliani Bath House. Senibinanya dipengaruhi 
senibina Islam dari Persia dan Asia Tengah.

Sebuah sungai kecil yang mengalir tenang.
Bersih juga sungainya

Kawasan di belakang Orbeliani Bath House.
Ramai juga pengunjung ke kawasan ini.

Aku pon menyertai pengunjung-pengunjung itu menuju ke arah belakang. Dan MasyaAllah... permandangan di sini sangat menakjubkan. Kawasan ini yang diberi nama Leghvtakhevi Canyon adakah sebuah ngarai dengan tebing tinggi di kiri dan kanannya. Sebuah sungai kecil pula mengalir di antaranya. Di atas tebing tinggi itu terdapat bangunan dengan senibina lama yang menakjubkan. Bangaimana boleh dibina bangunan di tebing seperti itu. Suasana di sini terasa sangat mendamaikan dengan suhu yang dingin yang menyegarkan. .

Permandangan di Leghvtakhevi Canyon

Bangunan yang dibina di atas tebing tinggi.
Terfikir juga, tak takut ke mereka tinggal di situ?

Laluan pejalan kaki yang di bina sepanjang canyon
untuk memudahkan pengunjung. Terdapat juga
safety net di atas beberapa kawasan untuk mengelakkan
batu-batu yang jatuh dari mencederakan pengunjung

Leghvtakhevi Canyon

Sudut pandang lain pula di Leghvtakhevi Canyon

Leghvtakhevi Canyon. Sampai ke akhir aku tak dapat
nak mengeja nama tempat ni. Tak tahu pula sebutannya
macam mana.

Aku berjalan perlahan-lahan menyusuri ngarai itu di atas laluan pejalan kaki yang disediakan. Dihujung laluan itu, kite akan tiba di sebuah air terjun kecil bernama Leghvtakhevi Waterfall. 

Air terjun Leghvtakhevi dari kejauhan

Air Terjun Leghvtakhevi

Air terjun dan sungainya juga bersih

Leghvtakhevi Waterfall.
Air terjunnya tidak tinggi tetapi cukup mendamaikan

Aku meluangkan masa sambil menikmati permandangan yang pengunjung yang lalu lalang di situ. Niat di hati nak singgah ke Tbilisi Juma Mosque, tapi tak kesampaian pula memandangkan keadaan aku sekarang yang membataskan perjalanan aku. InsyaAllah mungkin di hari yang lain. 


... bersambung (Episod 6)

You Might Also Like

0 comments