902 : 1999 ~ 2019

Selamat Tahun Baru 2020 aku ucapkan kepada semua, walau pun sudah terlewat aku untuk mengucapkannya. Mood untuk meluahkan sesuatu di sini baru sahaja tiba. Seperti biasa, aku akan menulis mengikut mood. Walau pun ada cerita, tetapi mood tiada, maka tidak lah juga aku menulis sesuatu, termenung sahaja di depan monitor tanpa jari menaip apa-apa.

Tahun 2020 ini dimulakan dengan berita gumbira bagi aku. Seawal minggu kedua tahun ini aku telah menerima sepucuk warkah cinta dari Bahagian Sumber Manusia. Katanya sijil, tetapi aku kurang pasti sijil apa kerana aku tidak ada menghadiri apa-apa kursus, program atau seumpamanya. Aku buka saja sampul bersaiz A4 itu. Terpampang Sijil Anugerah Perkhidmatan Setia 20 tahun. Terkesima aku seketika. Sudah 20 kah aku berkhidmat?


Aku mula berkhidmat sebagai seorang penjawat awam di Universiti Malaya pada tahun 1999. Aku memulakan khidmat aku sebagai seorang penjawat awam bertaraf kontrak di IPSP UM. Aku ditempatkan di Unit Kemasukan Pasca Siswazah dan tugas utama aku adalah mengendalikan proses permohonan kemasukkan ke program peringkat Sarjana dan Kedoktoran. Pada masa aku melapor diri itu, proses permohonan baru sedang berlangsung. Berlambaklah borang-borang permohonan yang perlu aku proses. Sebagai seorang kakitangan baharu, memang banyak yang perlu aku pelajari dan akhirnya kakak-kakak senior di situ menjadi mangsa tempat aku bertanya itu dan ini. Oleh kerana pengalaman kerja di situ masih tiada, meja kerja aku sangat berserabut sehinggakan aku turut menggunakan meja sebelah yang kosong untuk meletakkan borang-borang yang perlu aku proses. Satu ketika, boss aku ketika itu meluahkan kerisauan melihatkan keadaan meja aku. Setelah mendapat rentak dalam melakukan tugas-tugas itu, meja kerja aku dapat dibersihkan dan tugas-tugas aku dapat diselesaikan. Meja sebelah pon aku dapat clearkan. Sekali lagi, boss meluahkan perasaan lega melihat keadaan meja aku yang sudah clear. Bekerja di sini juga aku mendapat pengalaman untuk berkomunikasi dengan warga asing. Pada mulanya agak kekok, tetapi akhirnya aku dapat berkomunikasi dengan baik terutama dengan warga Arab dan Afrika yang agak susah difahami Bahasa Inggerisnya.

Enam bulan aku bertugas di Unit Kemasukan aku telah ditukarkan ke Unit Kewangan pula memandangkan latar belakang aku di dalam bidang kewangan. Di sini aku diamanahkan untuk memantau dan merekod penggunaan peruntukan jabatan, melakukan proses pembelian dan juga pembayaran. Aku juga bertanggungjawab ke atas beberapa jenis biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar. Di sini, aku agak popular di kalangan pelajar, terutama pemegang biasiswa dan juga pelajar-pelajar yang mempunyai masalah kewangan.

Dua tahun aku di IPSP UM, aku ditukarkan pula ke KKP UM setelah temuduga aku untuk jawatan tetap telah berjaya. Di sini tugas aku agak mencabar setelah aku dilantik sebagai Ketua, Bahagian Pentadbiran KKP UM. Selain dari melakukan tugas-tugas pentadbiran sebuah unit kecil dengan jumlah kakitangan seramai 30 orang, aku juga perlu memantau dan menyelia tugas-tugas kakitangan di bawah tanggungjawab aku seramai tujuh orang. Macam-macam ragam dan perangai, macam-macam kerenah sehingga kakitangan bergaduh sesama sendiri pon aku terpaksa selesaikan. Syukur Alhamdulillah, aku mendapat kakitangan yang boleh bekerja sama antara satu sama lain. Bekerja di sini, boss sering mengajar dan mendedahkan aku kepada tugas-tugas seorang pentadbir dan pentadbiran pejabat. Beliau juga sering membawa aku ke mesyuarat-mesyuarat peringkat tertinggi supaya aku tahu semua perkara. Di samping itu juga, kami boleh bekerjasama dengan baik. Perjalanan aktiviti unit juga berjalan dengan baik ketika itu.

Tiga belas tahun aku di KKP UM. Satu jangka masa yang panjang. Sepanjang tiga belas tahun itu, aku telah bekerja dengan empat orang boss yang berlainan. Pejabat aku telah dipindahkan sebanyak dua kali. Sebelum perpindahan kali kedua itu, aku telah memohon untuk pertukaran jabatan. Setelah aku mendapat berita bahawa tempat di mana kami akan ditempatkan adalah tempat jin bertendang dan terpencil dari peradaban manusia di UM ini. Disamping itu, kami juga akan ditempatkan di bawah pentadbiran baru yang pada aku tidak wajar kami ditempatkan di bawah pentadbiran itu. Tetapi, kami hanyalah mentimun dan mereka adalah durian. Menggolek kami luka, digolek pon kami luka. Kami pasrah dan meneruskan sahaja tugas-tugas kami itu.

Akhirnya kami telah selesa ditempat baru itu. Tetapi boss baru yang dilantik agak sukar untuk bekerjasama dan malah bukan aku sahaja agak tertekan bekerja di situ, kakitangan lain pun nampaknya begitu juga. Kerja aku semakin hari semakin payah, semua benda aku terpaksa selesaikan seorang diri demi kemaslahatan jabatan. Kemuncak kepada kekecewaan itu, penilaian prestasi aku ketika itu hanya mendapat kurang 60 markah. 

Satu tahun aku menunggu keputusan pertukaran jabatan aku itu. Setelah lebih setahun aku menunggu, pasrah dengan keputusan permohonan aku itu tidak berjaya, aku menerima sepucuk surat cinta dari Bahagian Sumber Manusia. Permohonan aku berjaya kerana ada seorang yang berjawatan sama dengan aku juga telah memohon untuk bertukar jabatan. Aku akan ditempatkan di PAS UM. Aku gembira walau pon sedih untuk meninggalkan KKP UM. Ada percubaan untuk menarik balik permohonannya, tetapi tidak berjaya.

Aku gembira bertugas di PAS UM kerana aku tidak lagi perlu untuk melakukan tugas-tugas yang sama seperti aku di KKP UM yang aku telah bosan melakukannya. Aku juga tidak perlu untuk memantau dan menyelia tugas kakitangan lain. Kini aku melakukan tugas-tugas aku sahaja dan aku ada seorang pegawai yang boleh aku rujuk jika terdapat masalah. Tugas-tugas aku kini adalah tugas-tugas akademik seperti peperiksaan. Walau pon ada juga masalah, tetapi itu perkara biasa dalam dunia pekerjaan. 

1999 hingga 2019, sudah 20 tahun aku berkhidmat di Universiti Malaya sebagai penjawat awam. Dan aku akan terus menyumbangkan bakti aku di UM selagi aku diperlukan. Masih panjang lagi khidmat aku sehingga ke usia 60 tahun. Itu pon kalau sempat hidup ke usia 60 tahun. 

You Might Also Like

4 comments

  1. Ber khidmat selagi boleh kan. Semoga terus sukses dalam kerjaya

    ReplyDelete
  2. bagusnya setia kpd UM. Itulah tempat abe kie menuntut ilmu selama 6 thn sehingga dpt menggenggam ijazah sarjana muda pendidikan (TESL).

    ReplyDelete