827 : Tujuh Hari Di Bulan Syawal 1438H/2017M - Selamat Hari Raya Aidilfitri, Mohon Maaf Zahir & Batin

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin 

Pejam celik pejam celik dah lima belas hari kita berada di bulan Syawal yang mulia ini. Ramai yang masih lagi berhari raya dan saling kunjung mengunjung. Selagi tak habis bulan Syawal, selagi tu lah orang masih sibuk beraya. Bagi aku, hari raya cuma sehari sahaja. Masuk hari kedua dan macam tak raya lagi. Sebatang kara macam aku ni, ke mana jer lah aku nak berkunjung, #kesian.

Menjelang 1 Syawal (Jumaat, 23 Jun 2017)

Aku masih lagi di pejabat. Malas nak mengambil cuti memandangkan Hari Raya akan jatuh pada hari Ahad nanti dan selepas raya nanti aku akan bercuti selama seminggu. Maka aku nak simpan sedikit cuti yang masih berbaki untuk aktiviti-aktiviti lain. Kat pejabat hari tu, ramai yang dah bercuti termasuk pegawai-pegawainya. Agak bosan jugaklah nak menunggukan waktu balik. Mood nak wat keje dah lama ke laut, makanya aku hanya wat bodo je sepanjang masa. Disebabkan tahap kebosanan dan sampai ke kepala, aku terus apply half-day untuk hari itu. Pukul 12.15 tengahari aku terus balik ke rumah.

Dapat duit raya dari boss.. terima kasih boss

Sebelum sampai di rumah, aku singgah di Tesco Selayang untuk membeli ketupat segera, memandangkan aku telah ditugaskan untuk memasak ketupat tersebut (itu je lah yang aku bole buat). Malangnya, sebesar-besar Tesco tu, cuma ade dua jenama jer. Itu pun jenama yang aku tak pernah dengar, jenama Lazat ngan jenama Nani. Aku nak cari jenama Nona, tak pon Adabi. Memandangkan kedua-dua jenama yang aku cari tu takde, terpaksa lah aku mencari di tempat lain. Mungkin petang nanti aku akan cari lagi. Kecewa dengan kejadian itu, aku terus balik ke rumah.


Petang itu dalam pukul 5.00 petang, aku keluar untuk menbeli juadah berbuka puasa di Bandar Baru Selayang. Aku singgah sebentar di Pasaraya KK, dan dapat juga aku membeli ketupat segera aku, jenama Adabi ada. Makanya aku belilah dua peket seperti yang dipersetujui di dalam perbincangan keluarga. 

Menjelang 1 Syawal (Sabtu, 24 Jun 2017)

Menjelang petang, siap sudah ketupat aku dimasak. Tahun ni nampaknya, takda siapa yang balik awal. Adik aku akan balik esok selepas sembahyang raya katanya. Kakak aku pula akan datang selepas Maghrib. Dia akan masak juadah hari raya di rumahnya terlebih dahulu, kemudian baru datang ke sini. Abang aku pula, takde berita pasal beliau, lagipon rumah dia dekat, bila-bila pon dia bole sampai.

Tragedi ketupat raya beberapa tahun yang lepas masih lagi diingati...

Malam, sambil menunggukan jemaah surau datang untuk bertakbir, abang aku sampai disusuli pula oleh kakak aku. Jemaah surau agak lambat tahun ni, ingatkan tak datang. Tahun ni jemaah surau kami hidangkan dengan air bujang sahaja memandangkan juadah hari raya baru tiba dan tak sempat untuk dihidangkan. Rekod untuk tahun ni, kuih raya pon takda. Kuih raya yang aku order, tidak dapat disiapkan (memandangkan aku order pon dah lambat, salah aku) dan kakak aku memang tak order apa-apa pon. Tergelak-gelak kiteorang bila dapat tau kuih raya takde untuk tahun ni, hahaha. Yang ada kek sahaja, 2 jenis.

Juadah raya yang sempat disediakan oleh kakak aku hanya kurma ayam, kuah lodeh dan sambal ikan bilis. Kuah kacang telah disediakan oleh adik aku yang akan datang esok pagi. Pada malam itu juga, abang aku telah pergi membeli daging untuk dibuat rendang daging. Nampaknya, rendang daging akan disediakan esok pagi. 

1 Syawal 2438H (Ahad)

Memandangkan aku belum sihat sepenuhnya, aku bersembahyang sunat Aidilfitri di atas katil sahaja untuk tahun ni. Anak-anak buah aku yang dua orang tu dah siap mandi dan mengenakan baju raya masing-masing. Kakak aku pula sibuk di dapur memanaskan juadah hari raya. Pagi itu kami kami bersarapan beramai-ramai dengan juadah hari raya. Selesai, bersarapan kami menyediakan hidangan untuk para tetamu yang akan hadir hari itu. 

Menjelang tengahari, adik sekeluarga sudah pon sampai membawa bersama kuah kacang kegemaran kami, ketupat palas dan rendang ayam. Abang ipar pula sudah selesai menyediakan rendang dagingnya. Abang sekeluarga pon sudah tiba membawa perut masing-masing, ahaks. Bila semuanya telah ada, maka bermula la sesi bergambar, sesi bermaaf-maafan dan sesi memberi duit raya pada yang layak menerimanya. Tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya, aku memberi duit raya kepada ayah aku dan sembilan orang anak buah aku yang ada di sini, tahun depan nampaknya dah jadi sepuluh orang, tak termasuk dua orang anak abang aku di Johor yang dah lama aku tak jumpe. 

Family portrait Aidilfitri 1438H/2017M

Menjelang awal petang, keluarga kakak aku dah pon keluar ke rumah mertuanya dan keluarga adik aku juga telah keluar beraya ke rumah rakan-rakannya. Tinggallah aku dengan abang sekeluarga di rumah. Tetamu pertama ke rumah aku raya ni adalah sekumpulan tiga orang gadis yang memanggil ayah aku atuk. Nampaknya kenalan ayah aku rupanya. Kumpulan kedua pula juga tiga orang gadis kenalan ayah aku. Wah... glemer ayah aku tahun ni, ramai gadis beraya di rumah nak jumpe dia, hehehe.. Tetamu ketiga pula merupakan kawan aku, Daus dan Fred. Ini merupakan tahun keempat (ke kelima) mereka datang beraya di rumah aku, kadang-kadang berdua kadang-kadang bertiga. Sebaik sahaja mereka pulang, tiba pula sahabat baik aku, Syah dan Nisya. Apa-apa pun terima kasih kerana sudi berkunjung ke teratak buruk hamba yang hampir roboh ni. Meriah rasanya raya aku tahun ni. 

Menjelang malam, tiada lagi tamu yang bertandang.

2 Syawal 1438H (Isnin)

Hari ini aku dan keluarga kakak berkunjung ke makam bonda. Dah lama rasanya aku dan kakak tidak melawat bonda. Makam bonda nampak bersih kerana ayah setiap Khamis akan datang dan membersihkan makam bonda. Cuma ada sebatang pokok kaktus yang telah membesar di luar kawal yang perlu dibersihkan segera sebelum roboh menimpa makam bonda atau makam-makam berhampiran. Kakak mencadangkan agar ditebang sahaja pokok itu dan menggantikan dengan pokok yang baharu.

Ke makam bonda

Setelah mensedekahkan Al-Fatihah dan bacaan Yasiin, kami terus pulang ke rumah kerana ada tetamu yang akan bertandang.

3 Syawal 1438H (Selasa)

Rumah pusaka ini telah mula sunyi. Keluarga kakak yang bermalam di sini sudah beransur pulang ke rumah mereka. Tinggallah aku bersama ayah.

4 Syawal 1438H (Rabu)

Hari ini dah sepanjang hari ini aku hanya bermalas-malasan di rumah. Best nyer sekali sekala dapat bercuti panjang macam ni.

5 Syawal 1438H (Khamis)

Lewat petang ayah datang mengadu pada aku yang motornya rosak, tak boleh start dan dia berjalan kaki pulang ke rumah. Katanya motor telah ditinggalkan berhampiran JT Perabot. Setelah bertanya serba sedikit, dia mengatakan bahawa dia telah jatuh motor dan motornya tidak boleh dihidupkan. Aku bersama ayah segera menaiki kereta ke tempat yang dikatakan. Malangnya motor itu tiada di situ. Aku bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian. Kali ini ayah tak ingat dia telah pergi ke mana dan telah meletakkan motornya di mana. Merata kami mencari sekeliling kawasan itu dan kawasan Bandar Baru Selayang, malangnya tidak juga berjumpa. Bila aku bertanya lagi, ayah mengatakan bahawa dia tak ingat.

Aku menghantar ayah pulang dan segera meminta bantuan sahabat aku yang berada di Bandar Baru Selayang untuk membantu aku. Kali ini kami pergi ke kawasan NSK dan jalan menuju ke sekolah dan terus ke kawasan kubur dan kawasan-kawasan sekitarnya, malangnya bayang motor itu pon tak nampak.

Apa yang aku khuatiri adalah motor itu telah diambil orang memandangkan ayah meninggalkan kunci motor itu di dalam bakul motor itu.

6 Syawal 1438H (Jumaat)

Pagi itu abang datang ke rumah dan kami keluar sekali lagi dalam usaha mencari motor ayah. Kali ini kami pergi lebih jauh walaupon kami yakin ayah takkan pergi sejauh itu, tapi ayah yang minta di bawa ke kawasan itu, kami mengikut sahaja. Sehingga ke tengahari, usaha kami gagal.

7 Syawal 1438H (Sabtu)

Aku menerima undangan ke rumah terbuka yang pertama tahun ini, di rumah sahabat di Bandar Baru Selayang. Majlis diadakan bersekali dengan majlis merisik dan pertunangan adik kepada sahabat. Disamping jemputan itu, aku juga menerima undangan ke majlis rumah terbuka sahabat di Shah Alam yang mana aku tidak dapat penuhi kerana menghadiri majlis di Bandar Baru Selayang. Kemudian aku juga menerima undangan dari seorang sahabat blogger di Kampung Nakhoda yang juga aku tidak dapat penuhi.

You Might Also Like

3 comments