815 : Catatan Perjalanan - Tokyo, Jepun (Episod 1) : Persiapan Awal

Alhamdulillah, dapat juga aku dan dua orang sahabat baik aku menjejakkan kaki ke bumi Negara Matahari Terbit itu. Berangan-angan itu tidak lama, bila syarikat penerbangan kegemaran rakyat marhein Malaysia membuat promosi, kami tidak melepaskan peluang keemasan itu. Pada bulan Oktober 2016, sebelah kaki telah berjaya kami jejakkan di Tokyo, sebelah lagi hanya menunggu hari penerbangan, 3 Mac 2017. Kos untuk tambang sahaja, pergi dan balik, kami dapat RM814.00 seorang tanpa makan, kos bagasi dan lain-lain. 

Penerbangan D7 522 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda

Perancangan awal dibuat oleh semua pihak memandangkan ini merupakan kali pertama kami akan ke sebuah negara yang lebih maju dari Malaysia yang tercinta ini. Sebelum ni kami hanya ke Indonesia, Thailand, Kemboja dan Singapura, yang boleh dikatakan lebih kurang sama dengan Malaysia dari pelbagai segi. Jadi perasaan gemuruh itu agak kurang. Itinerari perjalanan untuk sepanjang tempoh kami di sana dibuat bagi mengelakkan masa yang berharga tidak terbuang tanpa tujuan bila di sana nanti. Dua tiga pertemuan telah dibuat sesama sahabat untuk membincangkan mengenai itinerari, tempat-tempat menarik yang akan dilawati, aktiviti-aktiviti menarik dan kos perjalanan kami di sana. Dan akhirnya, itinerari kami siap dengan kos perbelanjaan kami di sana mencecah hampir JPY21,000.

Penginapan kami di sana juga perlu diuruskan. Memandangkan kami bertiga, dua orang lelaki dan seorang wanita, maka kos untuk menyewa bilik hotel atau hostel amat tinggi. Oleh yang demikian, kami menggunakan khidmat AirBnB untuk mendapatkan penginapan di sana. Tak banyak penginapan yang ditawarkan AirBnB yang menepati kehendak kami, cuma ada dua tiga pilihan sahaja. Akhirnya kami memilih sebuah penginapan di Komae yang terletak kira-kira 11km, barat pusat bandar Tokyo. Sebuah apartment yang mempunyai 2 bilik, 1 bilik air beserta kelengkapan dapur. Dan yang penting berhampiran dengan stesen keretapi, Stesen Komae. Walaupon takde la dekat mane sebenarnya, dalam 10-15 minit berjalan kaki dari penginapan dan di stesen ini cuma ade satu line untuk ke Tokyo, iaitu Odakyu Line. Pada 13 November 2016, kami membuat booking dan bayaran sebanyak RM906.00 juga telah dibuat untuk penginapan ini.

Permandangan hadapan rumah penginapan kami di Komae

Beberapa minggu sebelum penerbangan juga kami telah booking pocket wifi melalui travelrecommends.com yang menawarkan unlimited 4G wifi pada harga RM15.00 sehari di Jepun. Walaupon dikatakan di Tokyo sana, banyak tempat yang ada free wifi, memandangkan wifi sekarang merupakan satu keperluan, dan kami tidak mahu keputusannya, kami pun ambil sahaja pakej ini. Share tiga orang, makanya berbaloi jugaklah. Dan servis wifi ini di sana sangat baik, tak pernah terputus pon, kalau terputus pon disebabkan pocket wifi tersebut kehabisan bateri. 

Kami juga telah membeli tiket masuk ke Tokyo Disneyland melalui 11street.com. Harga yang kami dapat adalah RM290.00 seorang. Lebih murah jika dibandingkan beli terus di kaunter Disney. Kami juga telah booking tiket bas untuk ke Gunung Fuji melalui highway-buses.jp memandangkan kami tidak mahu ketinggalan bas di sana nanti. Harga tiket untuk dua hala adalah sebanyak JPY3,600 seorang dan kami akan menaiki bas tersebut di Shibuya. 

Kami juga akan membawa sedikit bekalan makanan ke sana memandangkan kos makan yang agak tinggi di sana dan juga isu sukar untuk mencari makanan halal. Oleh yang demikian, kami telah membawa bekalan beras untuk tujuh hari, sardin, tuna, lauk pauk segera, meggi, biskut dan beberapa jenis jajan. Kos untuk makanan yang akan dibawa ini lebih kurang RM100.00. 

Bekalan makanan yang dibawa. Sarapan kami di salah satu pagi

Kami juga telah membuat add-on kepada tiket penerbangan kami. Di mana kami telah membuat pre-order untuk makanan bagi penerbangan pergi dan balik dan juga 25kg bagasi juga untuk kedua-dua penerbangan pergi dan balik. Untuk makanan, tambahan RM30.00 seorang dan tambahan kos untuk bagasi adalah sebanyak RM204.00 yang dikongsi bersama. Pada mulanya kami ingin membuat booking seat juga memandangkan perjalanan selama enam jam kalau duduk berasingan mesti agak bosan, tetapi bila dilihat semula, seat kami telah ditentukan dan kami duduk sebelah menyebelah untuk penerbangan pergi dan balik. Hahaha.... sudah jimat dekat RM200.00 di situ. 

Makan tengahari aku di dalam pesawat

Tukaran wang asing juga agak tinggi ketika itu. Aku membuat pertukaran sebanyak dua kali, pertama pada kadar JPY1000 bersamaan dengan RM39.2 dan sekali lagi pada kadar RM39.5. Untuk trip ke Tokyo ini aku hanya membawa sebanyak JPY60,000. Aku juga telah mengaktifkan kad kredit dan kad debit aku untuk kegunaan di luar negara jika berlaku apa-apa kecemasan. Dan akhirnya, aku juga telah mendapatkan travel insurance secara percuma dari tempat aku bekerja untuk melindungi aku jika terjadi perkara-perkara yang tidak diingini.

... bersambung

You Might Also Like

2 comments

  1. Cemburunya.. salah satu impian.. nak gi JEPANGGGGG.. uhuu.. insyaallah.. doakan ek..

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah manjer... akhir nye nnt impian menjadi kenyataan.. best sgt jepon

      Delete