704 : Camping @ Air Terjun Sungai Lepoh (Hari Pertama)

Sempena cuti panjang Hari Kebangsaan tempoh hari, beberapa orang rakan telah merancang untuk bercuti dan akhirnya kami telah memilih untuk camping di Air Terjun Sungai Lepoh di daerah Hulu Langat, Selangor. Kami telah bersetuju untuk bercuti di sana untuk tiga hari dua malam. Perancangan asalnya kami seramai lapan orang, tetapi hanya enam orang saja yang turut serta.

Kami berjanji untuk berjumpa pada pukul 2.30 petang di kawasan Hulu Langat pada hari sabtu itu. Memandangkan aku dah biasa dengan area Hulu Langat tu, maka tak susah lah nak mencari kawan-kawan yang telah sedia menunggu di sana. Sebanyak tiga buat kereta bergerak menuju ke destinasi.

Kami tiba di tempat yang dituju lebih kurang pukul 3.15 petang. Setelah membuat persiapan apa-apa yang patut kami memulakan perjalanan kami meredah denai dan hutan untuk ke kawasan Air Terjun Sungai Lepoh itu lebih kurang pukul 3.45 petang. Perjalanan peringkat pertama agak santai meredah denai kampung dan denai yang nampaknya banyak dilalui oleh motorsikal penduduk tempatan. Perjalanan peringkat pertama ini saja kami telah mula mendaki dan disebabkan aku ni tak berapa nak cergas, aku mula merasakan kepenatan di peringkat ini. Perjalanan selepas itu agak landai dan sekala sekali melakukan pendakian. Aku terpaksa berhenti beberapa kali untuk berehat dan mengambil nafas menyebabkan perjalanan kami tergendala sebentar. Mohon maaf kepada kawan-kawan yang terpaksa menunggu aku. Walaupon kepenatan yang amat sangat, perjalanan harus diteruskan.

Perjalanan diteruskan melalui ladang-ladang getah dan kebun-kebun penduduk tempatan. Tatkala ini cuaca sudah pun menunjukkan tanda-tanda untuk hujan. Hujan turun sepanjang baki perjalanan kami. Di dalam hujan dan kepenatan itu kami tersalah jalan yang membawa kami ke satu kawasan bukit yang tiada tanda-tanda ada orang pernah melalui kawasan itu. Salah seorang rakan mendaki bukit itu untuk membuat kepastian dan ternyata kami telah tersalah jalan. Kami berpatah balik dan berjaya melalui jalan yang benar.

Perjalanan kami menjadi makin mencabar apabila kami tiba di kawasan yang mendaki. Sangat tinggi pendakian yang terpaksa kami lakukan. Di sini lah aku merasa seperti nak hilang nyawa, tak cukup nafas, nak pitam dan sebagainya. Setiap sepuluh langkah aku akan berhenti berehat. Sabar jer lah kawan-kawan aku yang lain tu. Ketika itu hari semakin gelap. Belum pon sampai ke puncak, hari telah pon gelap. Bekalan lampu di buka dan kami meneruskan perjalanan kami berbekalkan cahaya lampu. Pada masa itu kami berjalan melalui lereng-lereng bukit, kalau tersilap langkah mungkin kami boleh jatuh ke gaung di sebelah kiri. Alhamdulillah, perjalanan kami selamat.

Perjalanan selepas pendakian itu agak selesa dan aku tetap meneruskan perjalanan aku. Rasa nak give up pon ada, tetapi memandangkan kawan-kawan dan tempat yang dituju semakin hampir, aku gagahkan diri untuk terus berjalan. Akhirnya kami berjaya juga sampai ke tempat yang dituju selepas lebih kurang lima setengah jam berjalan. Tiga orang kawan yang tiba awal telah pon mendirikan khemah dan membuat persiapan yang patut untuk malam itu.

Kami mendirikan khemah kami sesegera yang mungkin kerana hari telah pon gelap. Selepas berehat sebentar aku terus turun ke sungai memandangkan aku sudah berasa tidak selesa dengan badan yang letih, berpeluh dan berbau agak kurang enak. Selepas dapat mandi, barulah aku merasa segar kembali. Untuk malam itu, makan malam kami agak sedap. Semuanya bakar-bakar. Ada ayam, ikan, jagung, kentang dan sosej. Kenyang makan malam itu, berselera sungguh kerana telah banyak tenaga digunakan semasa perjalanan tadi. Waktu malam itu dihabiskan dengan berbual dan berehat.

... bersambung

You Might Also Like

0 comments