... sambungan
Selesai urusan check-in di hotel penginapan, kami mengambil masa untuk berehat seketika memandangkan perjalanan panjang yang telah kami tempuhi dari malam tadi hingga ke petang itu merentas beberapa zon masa. Mercure Hotel Tbilisi Old Town adalah sebuah hotel bertaraf bintang (tak tau berapa bintang), yang disponser untuk kami, terletak di Tbilisi Old Town (Kala) menghadap Sungai Kura yang membelah bandar Tbilisi. Bilik yang akan kami inapi selama 8 malam (1 malam lagi bayar sendiri) ini lengkap dengan semua kemudahan asas, selesa dan dibersihkan setiap hari. Dan yang penting, tandas ada bidet untuk mencuci selepas uuk uuk.
Kami berjanji untuk berkumpul semula di lobi hotel pada pukul 5.00 petang. Kami berjalan kaki beramai-ramai menuju ke Tbilisi Old Town yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan kami, yang tidak sampai 1km jaraknya. Suhu nyaman sahaja petang itu, tidak panas dan tidak terlalu sejuk. Tbilisi Old Town adalah satu kawasan di bandar Tbilisi yang menjadi tumpuan pelancong. Senibina bangunan yang unik dan menarik menjadi tumpuan pelancong ke kawasan ini disamping banyak tarikan lain seperti makanan dan tempat-tempat sejarah. Atmospere pon macam sedang berada di zaman dahulu sebelum zaman AI sekarang.
Tujuan pertama kami petang itu adalah untuk menukar wang. Tiada sekeping pon wang Georgia (Georgian Lari (GEL)) di dalam poket masing-masing. Kami membawa USD memandangkan penerimaan USD yang meluas di mana-mana dan mudah untuk membuat pertukaran asing. Penggunaan kad debit/kredit mahupon QR adalah amat terhad. Pengurup wang di kawasan sini hanyalah kedai-kedai kecil dan kadar tukaran yang berbeza di antara satu pengurup dengan pengurup yang lain. Terpaksa buat perbandingan untuk mendapatkan kadar yang terbaik. Aku menukar sekitar USD700 dan dapatlah lebih kurang GEL1,700. Seperti biasa, dapatkan harga tukaran dahulu sebelum bersetuju.
Banyak juga pengurup wang yang menawarkan perkhidmatan.
Banyak juga restoran makanan halal di sini terutama makanan dari
Timur Tengah seperti Turkiye. Kedai cenderahati pon banyak.
Kemudian kami berjalan sepanjang Abano St. Kawasan ini adalah salah satu kawasan tumpuan pelancong. Terdapat banyak restoran makanan timur tengah dan makanan tempatan. Terdapat juga banyak kedai cenderahari dan juga banyak bath houses kepada sesiapa yang berminat untuk mandi air panas bersulfur. Bau sulfur dikawasan ini agak kuat dan kadang-kadang menyakitkan hidung. Aku berminat juga untuk mandi air panas tu tapi nampaknya takde sahabat yang berminat nak join, hahaha.
Kemudian kami bergerak menyusuri jalan-jalan kecil yang dipenuhi dengan pelbagai jenis perniagaan masyarakat tempatan hingga ke Vakhtang Gorgasali Square, sebuah persimpangan jalan raya yang agak sibuk di sini.
Perut sudah terasa lapar dan kami merancang untuk makan malam di sebuah restoran Azerbaijan yang dicadangkan oleh pemandu Bolt kami tadi. Malangnya, tidak seorang pon dari kami yang ingat nama restoran itu dan main agak-agak je di mana restoran tersebut. Disebabkan aku mengalami kekurangan gula dalam darah ketika itu, aku tidak dapat bersama mereka. Aku dan seorang rakan duduk lepak di sebuah kedai di pinggir Vakhtang Gorgasali Square itu sambil menikmati Chimney Cake bersama aiskrim sambil menikmati permandangan malam Old Town Tbilisi.
Chimney Cake atau Trdelnik (თბილისი) dalam bahasa tempatan adalah sejenis sweet pastry yang dikatakan berasal dari Hungary dan popular di sini. Kalau korang pernah merasa pastri Auntie Anne, lebih kurang macam tu lah rasa pastrinya dan dimakan dengan pelbagai jenis aiskrim dan topping. Harga yang aku ambil ini adalah GEL15, beli satu share makan berdua, itupon tak habis kerana pastrinya yang agak memuakkan bila makan banyak. Aiskrim dan topping buah-buahan di dalamnya itu sedap dan manis,
... bersambung (Episod 3)















