30 December 2018

865 : Catatan Terakhir 2018

Tahun 2018 hampir meninggalkan kita. Tak banyak perkara bagus berlaku di tahun 2018, kebanyakkanya perkara yang aku tak berapa nak suka. Walau apa pun, kehidupan di dunia ini perlu diteruskan selagi hayat masih dipinjamkan Allah s.w.t. InsyaAllah diberikan aku kekuatan untuk menempuh tahun-tahun mendatang. 

Azam 2018.

Seperti yang pernah aku maklumkan sebelum ini, bagi tahun 2018 aku berazam untuk tidak berazam. Rasanya tak ada apa yang aku nak capai di tahun 2018. Cukuplah dengan apa yang aku ada sekarang, hidup ala kadar sahaja, janji aku gembira. 

Kehidupan 2018

Tahun 2018 ni bagi aku sama sahaja seperti tahun-tahun lepas. Takda yang menariknya kehidupan aku ni. Rutin macam biasa sahaja, pergi kerja balik kerja tapi tak kaya-kaya. 

Alhamdulillah, sakit kulit di kaki aku nampaknya dah hampir sembuh walaupon tidak mungkin 100% sembuh. Selepas aku ke klinik pakar kulit dengan caj perkhidmatan dan perubatan yang mencecah RM700 itu, sakit aku semakin baik. Kemudian aku perhatikan, ia semakin elok selepas aku mandi laut di Cherating dalam bulan bulan Ogos yang lepas. Betullah kata orang, kalau sakit kulit, pergilah mandi laut dengan berniat kepada Allah s.w.t. agar disembuhkan dari penyakit yang ada, insyaAllah. Bagi aku, Alhamdullilah, sakit kulit di kaki aku semakin baik. Kene berwaspada agar itu tidak menjadi teruk seperti dahulu lagi. Sakit lutut dan tapak kaki yang aku sering alami juga tidak menyerang sekerap dulu. Tahun ini rasanya boleh dikira berapa kali sahaja aku diserang. Itu pon tidak seserius dahulu, sakit tapi masih mampu berjalan. Alhamdulillah sekali lagi, itu sahaja yang sering aku ucapkan sebagai tanda syukur kepada Allah. 

Sekarang aku sudah menetap sepenuhnya di rumah baru aku di Cyberjaya. Aku sudah selesa di sini. Ramai yang bertanya, ayah aku duduk dengan siapa sekarang? Ayah tak mahu ikut, malah tidak mahu duduk dengan adik beradik yang lain. Dia nak duduk di rumahnya di Selayang. Orang tua macam tu lah, lebih selesa di rumah sendiri. Walau bagaimanapun, abang setiap malam akan datang melawat ayah. Adik dan kakak pula boleh dikatakan setiap hujung minggu datang menjenguk. Aku jer yang jarang-jarang balik sekarang. Walau bagaimanapun, aku tidak akan lupa asal usul aku. Kesihatan ayah nampaknya baik cuma sudah tidak seaktif dahulu. Ingatan ayah juga sudah merosot, kadang-kadang anak cucu sendiri pon dia dah tak kenal. Sentiasa aku berdoa untuk kesihatan ayah. Esok nak balik Selayang lah...

Kereta aku, Abang WoTonG sudah habis bayar. Sembilan tahun bersama dan Abang WoTonG telah berkhidmat dengan aku. Sepanjang itu juga tiada masalah serius yang berlaku, Alhamdulillah. Last Abang WoTonG minta ke bengkel adalah pada minggu lepas. Cermin tempat duduk penumpang belakang belah kiri pecah disebabkan terkena batu ketika orang memotong rumput ketika aku berada Chaah minggu lepas. Melilau jugalah nak cari kedai cermin sehingga membawa aku ke Segamat. Apa-apa pon semuanya dipermudahkan. Sebelum itu Abang WoTonG juga telah ke bengkel disebabkan masalah bearing tayar belakang. Sekarang, sudah boleh bernafas sedikit dari segi kewangan. Cuma perlu bayar hutang rumah dan hutang kad kredit sahaja. Dan aku juga sudah boleh menyimpan sedikit untuk hari muka.

Kerja aku masih di situ lagi. Dah tak boleh ke mana. Kalau nak minta transfer ke jabatan lain pon belum tentu dapat. Sekarang ni macam dah takde semangat nak kerja. Mungkin sudah bosan untuk melakukan kerja lagi disebabkan faktor umur yang sudah mencecah kategori veteran. Setiap pagi terasa berat untuk bangun, sentiasa mengeluh walaupon aku tahu tiada gunanya mengeluh itu. Pernah terfikir juga untuk meletak jawatan, tapi aku takde backup dan takda simpanan berjuta untuk aku meneruskan hidup. Nak wat kerja lain pon tak tahu apa yang aku nak lakukan, nak berniaga pon takda skill walaupon modal tu ada la sikit kalau nak mula. Yang paling penting, aku tak berani nak mengambil langkah itu. Masih ada tanggungjawab lain yang perlu aku langsaikan. Tak tahu lah sampai bila boleh bertahan. Kalau nak tunggu pencen pon masih lama lagi nak mencecah usia 60 tahun itu. Sudah merancang untuk bersara pilihan sahaja bila usia sudah mencapai 50 tahun dan meneruskan baki hidup yang dipinjamkan untuk entah berapa lama lagi. Tapi itu semua bergantung kepada keadaan, kalau kerja semakin tenang dan tidak membebankan, mungkin aku akan teruskan, jika tidak, cukuplah 30 tahun aku berkhidmat.

Liburan 2018

Sedih rasanya pada tahun ini tidak dapat berlibur ke destinasi antarabangsa. Tapi semua ini memang sudah dijangka. Masalah kewangan yang meruncing menjadi penyebab utamanya. Apa-apa pun aku pasrah dengan ketentuan ini. InsyaAllah, kalau takda aral melintang di mana-mana, tahun hadapan depan aku ke destinasi antarabangsa, walaupon bukan destinasi bucket list aku. Tiket penerbangan sudah ada, hanya menunggu tarikh penerbangan sahaja. Semoga dipermudahkan, insyaAllah.

Tahun ini banyak melakukan Cuti-Cuti Malaysia sahaja. Antara destinasi yang disinggahi adalah Cherating, Pahang pada bulan Ogos, pulang ke kampung sahabat di Chaah dan Segamat pada bulan September, weekend gateway ke Port Dickson pada bulan November dan jalan-jalan di sekitar Chaah, Labis, Segamat, Yong Peng dan Ayer Hitam, Johor pada bulan Disember. 

Mentari 2018 mengundur diri. Lokasi, Cyberjaya

Semoga tahun 2019 ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan dipermudahkan segalanya untukku. Amin...

13 December 2018

864 : Masak Sendiri, Makan Sendiri (Episod 5)

Sejak dua menjak ni aku suka sangat makan ayam goreng kunyit. Tempat kegemaran aku adalah di Pasar Malam Putrajaya setiap Selasa malam dan Jumaat malam. Boleh dikatakan hampir setiap minggu aku akan membeli dari gerai yang sama. Dah lama juga lah aku menjadi pelanggan tetap gerai itu. Kenapa aku suka? Firstly, ofkoz lah sebab ayam dia sedap, secondly sebab portion dia banyak, memang kenyang makan lah. Kalau nak tau gerai yang mana, gerai yang ramai orang beratur tu lah, tak pasti pulak aku apa nama gerai dia. Sebelum ni cuma abang tu berdua dengan wife dia (aku agak je wife dia), la ni dah ada pekerja, maju dah perniagaan dia, jual ayam goreng kunyit je, jeles aku... ahaks.

Then aku ada rasa juga ayam goreng kunyit dari food truck, kalau tak silap nama dia Mat Rock. First time aku makan masa aku menyertai program Larian Hari Sukan Malaysia di Bukit Jalil. Sedap juga kena dengan selera aku. Secondly aku makan ayam goreng kunyit Mat Rock ni masa aku pergi ke pameran MAHA beberapa bulan lepas di MAEPS. Aku rasa, dua ayam goreng kunyit ni yang menjadi kegemaran aku. Nyam3...

Oleh kerana aku dah suka kepada ayam goreng kunyit ni, makanya pada hari Ahad minggu lepas aku pon cuba la buat. Manalah tau sedap macam Mat Rock, bole aku bukak bisnes macam dia gak, huhu. Sehari sebelum tu aku pergilah ke sebuah pasaraya dan membeli bahan-bahannya. Bahan-bahannya dan cara membuatnya aku cari kat google jer, maka tak perlulah aku kongsi di sini. Wat malu aku je nanti, baru first time masak dah nak share resepi.. hahaha...

Dan hasilnya tidak mengecewakan...

Ayam yang telah siap dan sedia untuk digoreng
Macam terlebih kunyit jer...

Ayam goreng kunyit aku, nampak sedap tak? 
Terlebih goreng plak, sampai layu karot ngan bawang itu.

Aku juga mencuba untuk memasak nasi dalam cawan. Seorang kawan aku ada cakap, kalau masak nasi dalam cawan ni takde kerak, makanya aku pon cuba lah. Dan hasilnya juga tidak mengecewakan dan memang benar tidak berkerak. 

Nasi sedia untuk dimasak. Nasib baik muat cawan tu 
dalam periuk nasi aku yang kiut itu

Nasi sudah masak, ngam-ngam satu cawan untuk aku makan seorang.
Makan brown rice untuk kesihatan ye...


Jemput makan semua, bismillah....

Jemput makan semua, menu orang bujang jer. 
Oh ye.. sambal cili dia takde, pasal tak buat, kalau ada tentu lebih sedap.
Harus berpeluh time makan, mak mertua lalu belakang pon tak perasan...

Walaupon ayam goreng kunyit aku menjadi, tapi masih ada beberapa perkara yang boleh ditambahbaik. First time buat memang la tak perfect kan. Next time aku akan cube lagi.. InsyaAllah...

09 December 2018

863 : Goodbye Maxis, Hello Celcom

Aku tak ingat sejak bila aku menggunakan perkhidmatan telco Maxis. Kalau tak silap perhitungan aku, sejak awal 2000an iaitu semasa aku mula-mula menggunakan telefon bimbit. Dari dahulu sehingga sekarang aku menggunakan pre-paid sahaja memandangkan aku ni bukan jenis yang suka bergayut, malah kalau orang telefon aku pon belum tentu aku nak jawab, huhu. Sebelum itu aku pernah menggunakan post-paid, itu pon atas nama orang lain pasal orang tu ke luar negara dan aku guna sahaja bil beliau. 

Lebih 10 tahun aku menggunakan perkhidmatan dari Maxis

Pada bulan lepas aku berhasrat untuk menukar telco dari Maxis ke Celcom memandangkan perkhidmatan Maxis bagi aku tidak lagi bagus dan merasakan ada telco lain yang menawarkan perkhidmatan yang lebih menguntungkan. Yang penting bagi aku adalah servis internetnya sahaja pasal itu yang banyak aku gunakan. Semasa menggunakan Maxis, aku melanggan setiap minggu dengan kuota 1.5G pada harga RM10. Dan aku rasakan, 1.5G itu terlalu cepat habisnya, kadang-kadang tak sampai tujuh hari dah habis. Kemudian sahabat mencadangkan aku untuk bertukar ke Celcom sahaja.

Cuba Celcom, tengok camne servisnya

Aku dah sahabat kemudiannya ke Alamanda Putrajaya ke kedai Celcom untuk membuat pertukaran. Staf Celcom itu mengatakan bahawa Maxis akan menghubungi aku dalam masa 24 jam selepas permohonan aku itu dihantar ke pihak Maxis. Seperti yang dijanjikan, pihak Maxis telah menelefon aku dan cuba untuk membuat promosi plan-plan yang ada, dan beliau mencadangkan aku untuk mengambil plan post-paid. Aku yang memang tidak berminat dengan plan post-paid terus sahaja mengatakan bahawa aku tidak berminat dan boleh pulak dia tanya kenapa tak berminat. Aku macam dah takda idea nak kelentong apa (atas dasar untuk mengekalkan conversation yang baik). Belum sempat aku berkata apa-apa, pekerja Maxis itu berkata, 'Encik ada masalah nak bayar bil ke?' Aku terus sahaja, 'ya.. ya.. ya..'. Beliau kemudiannya terus memberikan aku internet sebanyak 2G bagi tempoh selama satu bulan.

Sim card baru dari Celcom

Keesokkan harinya, 21 November 2018, aku menerima pesanan ringkas dari Celcom mengatakan bahawa permohonan aku untuk menukar telco tidak diluluskan oleh pihak Maxis. Aku pon terus macam, 'WTF!'. Aku terus sahaja menelefon Maxis untuk mendapatkan penjelasan tetapi panggilan aku tidak berjawab.

Pesanan ringas dari Calcom yang mengatakan 
bahawa permohonan aku tidak diluluskan.

Petang itu aku cuba call semula. Talian berjaya ditembusi dan staf Maxis itu mengatakan permohonan aku tidak diluluskan kerana aku masih mempunyai kontrak dengan Maxis. Aku pon macam 'WTF' sekali lagi. Staf itu mengatakan bahawa aku ada kontrak selama satu bulan kerana menerima tawaran internet percuma selama sebulan yang diberikan semalam. Aku macam tak puas hati je, sebab staf tu gagal memaklumkan pasal kontrak tersebut. Betullah kata orang, Maxis ni banyak putar belit. Kemudian staf itu (yang tak berapa friendly itu) meminta aku untuk call celcom sekali lagi dan meminta pihak celcom untuk menghantarkan permohonan aku sekali lagi, dan staf itu juga telah membatalkan kontrak aku selama sebulan itu. Staf itu juga ada memaklumkan bahawa sebarang baki di dalam akaun perlu dihabiskan dan baki minima yang mesti ada di dalam akaun adalah RM1.00.  

Aku terus menghubungi pihak Celcom dan panggilan aku dijawab pada deringan pertama, itu pon dah buat aku impress. Tahniah Celcom (tak tau la lepas ni camne plak kan). Aku meminta pihak Celcom menghantar permohonan aku sekali lagi dan staf Celcom itu memaklumkan bahawa permohonan aku akan diproses dalam masa 24 jam. Sebelum aku terlupa, aku terus Share-A-Topup dengan sahabat aku sebanyak RM10.00 dan baki yang tinggal dalam akaun aku ketika itu dalam RM4.00 sahaja. 

Keesokkan harinya, 22 November 2018, pada pukul lebih kurang 4.00 petang, aku menerima pesanan ringkas dari Celcom mengatakan bahawa permohonan aku telah diluluskan dan perkhidmatan Maxis aku terhenti serta merta. Oleh yang demikian, goodbye Maxis, hello Celcom.

Permohonan telah diluluskan

Sehingga kini aku tidak mengalami apa-apa masalah dengan servis Celcom. Yang peliknya, data internet aku tak gerak-gerak plak walaupon hari-hari aku on. Ermmm....

03 December 2018

862 : Sembilan Tahun Sudah Berlalu

Enam Disember akan datang maka genaplah sembilan tahun aku bersama Abang WoTonG. Selama sembilan tahun bersama banyak sudah kami menjelajah dan banyak suka daripada duka bersama Abang WoTonG. Telah samar-samar dalam ingatan aku dek kerana usia yang telah meningkat, sembilan tahun lalu kita mula bertemu.

Aku mengambil lesen memandu untuk kereta agak lewat. Masa itu memang tiada keinginan untuk aku mengambil lesen memandu kereta. Bagi aku sudah ada lesen motorsikal itu sudah mencukupi. Tetapi pada suatu hari, satu kejadian yang ingin aku rahsiakan telah mencetus keinginan aku untuk mengambil lesen kereta. Aku terus survey internet mencari sekolah memandu berhampiran kawasan aku. Akhirnya aku bertemu satu di kawasan Batu Caves. Setelah bertanyakan beberapa perkara, aku terus mendaftar dan memulakan pembelajaran secepat mungkin. Tindakan aku ini aku rahsiakan dari keluarga aku, sehingga arwah emak aku pon hairan, kenapa setiap hujung minggu aku akan keluar awal pagi.

Memandangkan aku sudah pernah membawa kereta sebelum itu (tanpa lesen), maka tidak susahlah pembelajaran aku dan aku lulus dengan sekali percubaan sahaja. Balik sahaja ke rumah selepas ujian memandu itu, orang pertama yang aku beritahu tentang kejayaan aku adalah arwah mak aku. Tak sampai satu jam kemudian, aku menerima panggilan telefon dari kakak aku. "Wei... tahniah ye", ayat pertama dari beliau. "Tahniah apanye", aku saje-saje buat tak tau. "Eleh... wat-wat tak tau plak. Bila nak beli kereta", "Hahaha... camne ko tau? Sape bagitau ni?". "Mak la, sape lagi". Ntah bila plak orang tua call kakak aku dah beritau cerita itu. Hehehe...

Weekend itu kakak aku datang ke rumah. Beria-ia betul dia tanya aku macam-macam pasal aku nak beli kereta apa. Pada mula nya aku hanya nak beli Proton Persona, kemudian aku berminat pula dengan Toyota Vios. Kemudian kakak aku cadangkan Honda City. Mula-mula aku menolak kerana design Honda City yang tak menepati citarasa aku. Kemudian, kakak aku maklumkan yang Honda City yang buruk tu adalah model lama, sekarang dah ada model baru yang lebih cantik. Selepas itu kami melayari internet untuk melihat model baru itu. Walau bagaimanapun aku masih tidak puas hati dan masih belum menetapkan keputusan.

Honda City model terbaru itu pertama kali aku lihat di NSK Selayang. Pada masa itu, Honda City yang aku nampak tu baru lepas eksiden kot pasal dah remuk bahagian belakangnya. Aku terus tertarik. Wah... cantik gak Honda City terbaru ni. Selepas melihat sendiri Honda City itu walaupon telah remuk belakangnya, aku terus membuat keputusan untuk membeli Honda City sahaja, jika bayaran bulanannya menepati bajet aku.

Aku tak ingat bila, aku bersama kakak dan abang ipar aku telah ke pusat pameran Honda di Petaling Jaya untuk test drive. Dan selepas itu menandatangani dokumen-dokumen jualbeli. Tempahan aku akan tiba dalam tempoh tiga bulan dan kalau mengikut perkiraannya dalam bulan Jamuari 2010. Namun nasib aku balik, ada seorang pelanggan telah membatalkan tempahannya dan aku dapat kereta aku sebulan awal iaitu pada Disember 2009. Huhu...

Semasa menerima Abang WoTonG

Sepanjang aku menggunakan Abang WoTonG ni, memang takda masalah sangat. Memang betullah kata pepatah, alah membeli menang memakai. Setelah hampir sembilan tahun menggunakannya, telah banyak tempat yang telah kami jelajahi. Abang WoTonG telah menjelajah ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu ni. Abang WoTonG juga pernah di bawa masuk ke negara jiran, Thailand hingga ke Krabi. 



Beberapa kenangan bersama Abang WoTonG

Diharap Abang WoTonG akan terus dapat memberikan khidmatnya ke pada aku. Masih belum terniat di hati aku untuk menukar kereta lain. Bagi aku, gunalah dahulu sampai habis, kemudian baru tukar. Tambahan lagi, aku nak enjoy freedon of money, kumpul duit dan pergi melancong pula, InsyaAllah.