07 April 2017

820 : Catatan Perjalanan - Tokyo, Jepun (Episod 5) : Ku Sangkakan Hujan Sampai Ke Petang, Rupanya Cerah Di Tengahari, Nampak Juga Gunung Fuji

... sambungannya

6 Mac 2017 (Isnin)

Seawal jam 4.00 pagi, alarm handset masing-masing telah berbunyi. Dengan malasnya, semua bingkas bangun. Sarapan pagi dan bekalan yang akan dibawa bersama disiapkan, nasi goreng dengan sandwich sardin, biskut dan jajan. Selepas sarapan serba sedikit, kami keluar meninggalkan Komae untuk ke Shibuya. Hari ini kami akan ke Kawaguchiko di mana berdirinya Gunung Fuji dengan megahnya yang menjadi simbol gah Negara Jepun. Kami akan menaiki bas dari Shibuya Mark City ke Kawaguchiko Station. Tiket bas kami sudah reserved secara online di highway-buses.jp. Pada mulanya kami hendak naik bas tersebut dari Shinjuku Station memandangkan ia lebih dekat, tetapi ada masalah dengan sistem bookingnya, tak tahulah samada sudah penuh atau memang ada masalah sistem. Akhirnya kami terpaksa booking tiket dari Shibuya pada harga JPY3,600 return ticket. Kalau dari Shinjuku, harganya pergi balik cuma JPY3,500.

Inilah bas yang akan membawa kami pergi ke dan pulang dari Kawaguchiko

Memandangkan kami sudah tahu di mana stesen bas Shibuya Mark City itu, maka tak perlu lah tergesa-gesa dan kami telah sampai di situ lebih kurang pukul 7.00 pagi. Slip booking ditukar kepada tiket di kaunter tiket station itu. Oleh kerana sahabat pergi menandas sebentar, terlepas kami bas yang lebih awal, pukul 7.15. Pukul 7.30 bas kami pon bergerak meninggalkan Shibuya. Bas membuat beberapa stop mengambil penumpang sebelum memasuki lebuhraya bertol menuju destinasi.






 Beberapam gambar permandangan sepanjang perjalanan ke Kawaguchiko

Cuaca pagi itu tidak secerah hari-hari semalam, mendung sahaja dari pagi. Dalam perjalanan hujan pon turun. Hati aku kecewa, kalau-kalau tak dapat melihat Gunung Fuji. Tujuan utama aku ke sana, memang nak melihat Gunung Fuji. Tapi kalau tak ada rezeki nak buat macam mana, kenalah datang lagi next time. 

Kami tiba di Kawaguchiko Station lebih kurang pukul 10.30 pagi dalam keadaan hujan renyai-renyai. Suhu sangat sejuk pagi itu dan baju sejuk yang kami pakai adalah tidak sesuai dengan keadaan itu. Mana taknya, kami bawa baju sejuk musim bunga dengan harapan taklah sejuk sangat, tetapi nampaknya suhu sejuk musim sejuk masih lagi belum tamat. Terpaksalah kami menahan diri dengan kesejukan itu. Aku yang pernah experience musim bunga di UK beberapa tahun lalu pon rasanya tak sesejuk ini. Sempat juga kami berjumpa dan berbual sekejap dengan sekumpulan pemuda dari Malaysia yang baru tiba dari Osaka.

Bas sudah sampai di Kawaguchiko Station

Di kawasan Lima Tasik Fuji ini kami telah memilih beberapa destinasi untuk dilawati memandangkan kami hanya akan berada satu hari sahaja di sini, itu pon bergantung kepada masa. Untuk memudahkan kami bergerak, kami telah membeli Pas Sightseeing Bus All Lines (Red Line, Green Line and Blue Line), unlimited rides for two days pada harga JPY1,500 seorang. Pas ini boleh didapati di Stesen Kawaguchiko itu. Tapi bagi aku, jika kita sudah set tempat yang kita nak pergi, tak perlu pas ni, kite boleh bayar cash sahaja kepada pemandu bas. Lebih jimat rasanya. Tapi jika kita berada dua hari di situ, rasanya pas ini berbaloi.

Sightseeing Bus Pass yang dibeli

Destinasi pertama kami adalah ke Mount Kachi Kachi. Untuk ke Mount Kachi Kachi kita perlu menaiki Retro Bus Red Line dan berhenti di Bus Stop No. 11. Tak perlu risau terlepas bus stop kerana ada makluman yang akan memaklumkan bas akan melewati bus stop mane, perlu tekan loceng sahaja untuk turun (makluman dalam bahasa Jepun, Mandarin dan Korea sahaja ye). Ataupon anda alert sahaja bus stop no. berapa (sila dapatkan pamphlet yang disediakan di kaunter tiket, Kawaguchiko Station). Masa nak turun bas jangan lupa tunjukkan pas anda atau bayar tambang sekiranya anda tak membeli pas.


  Permandangan di dalam sightseeing bus

Sampai sahaja di bus stop tersebut, kami lepak dulu di tepian Tasik Kawaguchiko untuk menikmati permandangan dan mengambil gambar. Selepas puas bergambar bagai, kami terus menuju ke Mount Kachi Kachi. Untuk naek ke Mount Kachi Kachi kite perlu menaiki kereta kabel. Harga tiket kereta kabel ini untuk round trip adalah JPY800. Perjalanan dari stesen bawah ke stesen atas memakan masa lebih kurang 2-3 minit sahaja. Dari atas sebenarnya kita boleh nampak view Gunung Fuji, tapi memandangkan cuaca agak kurang baik, Gunung Fuji dilitupi awan, ape pon tak nampak. Makanya kami hanya menikmati permandangan Pekan Kawaguchiko dan Tasik Kawaguchiko sahaja. Tak banyak aktiviti yang dapat dilakukan di atas sana.



Permandangan di persisir Tasik Kawaguchiko yang tenang dan mendamaikan

Permandangan Mount Kachi Kachi dari kejauhan

Bahagian hadapan dan pintu masuk ke Mount Kachi Kachi

Menaiki kereta kabel Mount Kachi Kachi. Awek Kachi Kachi yang kawaii 
menyambut tetamunya menaiki kereta kabel itu dengan menundukkan kepalanya
kepada setiap tetamu. Gigih beliau menjalankan tugas, dah la kawaii... muah ciked


Kawasan di atas Mount Kachi Kachi. Tak nampak Gunung Fuji kerana awan yang tebal.

 Dua haiwan ini, sang rakun dan sang arnab mempunyai ceritanya tersendiri di Mount Kachi Kachi

 Permandangan Pekan Kawaguchiko dari atas Mount Kachi Kachi

Sisa-sisa salji yang tinggal di atas Mount Kachi Kachi

Turun dari Mount Kachi Kachi sahabat tergoda plak dengan buah strawberry yang dijual di bawah sana. Nampak fresh saja, makanya kami pon terbelilah satu packet strawberry dengan satu packet anggur dengan harga tak sampai JPY1,000. Dan kami duduk di tempat duduk di tepian Tasik Kawaguchiko untuk makan tengahari bekalan yang kami bawak. Strawberry tu sangat manis dan kami makan pula dengan coklat choki-choki yang kami bawak, jadilah strawberry bersalut coklat buatan sendiri dari Tasik Kawaguchiko. Anggur pon sedap, rasa laen sket tak macam anggur yang aku pernah makan di Malaysia. Dalam dia rasa kenyal-kenyal jer. Kami seterusnya singgah di kedai-kedai cenderahati di sepanjang jalan di situ. Banyak juga kedai cenderahati, kalau nak beli cenderahati rasanya kat sini adalah kawasan yang terbaik. Kalau nak beli kuih muih dan kek berbentuk Gunung Fuji pelbagai perisa pon banyak di sini, semuanya nampak menarik. Di sini aku dah sahabat berkenan kepada model-model kenderaan yang terdapat di Jepun seperti kereta, lori malah keretapi shinkansen pon ada. Aku amik satu model kereta Daihatsu Wake yang comel, tak terdapat kat Malaysia, cuma JPY450 sebuah.

Buah strawberry dan anggur yang sangat sedap yang dibeli di Mount Kachi Kachi

Makan tengahari di tepian Tasik Kawaguchiko

Destinasi kami seterusnya adalah Kawaguchiko Natural Living Centre. Untuk ke sana kena naik bas Red Line jugak sampai ke Bus Stop No. 22, bus stop terakhir Red Line, lepas tu bas akan berpatah balik. Kat Kawaguchiko Natural Living Centre ni pon bole nampak Tasik Kawaguchiko berlatar belakangkan  Gunung Fuji. Kalau datang pada bulan April lagi meriah tempat ni dengan bunga. Tapi malang sekali lagi, masa kami kat sini hujan turun dengan lebatnya. Terpaksalah kami tumpang berteduh dahulu sambil makan ais krim yang sangat sedap, JPY350 sahaja. Gunung Fuji memang tak nampaklah kalau dah hujan. Kat sini juga ada restoran dan souvenir shop, tapi kami tak membeli apa-apa pon. Bila hujan reda, tanpa membuang masa kami terus amik bus Red Line untuk ke destinasi kami seterusnya.

Permandangan Kawaguchiko Natural Living Centre ketika cuaca yang baik


 Menikmati ais krim yang sangat sedap dalam cuaca yang sejuk 
adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Destinasi kami berikutnya adalah ke Saiko Iyashino-Sato Nenba, sebuah perkampungan Jepun. Terletak di kawasan Tasik Saiko (bukan psycho ye), dan untuk ke sana kami kene naik bas Red Line semula untuk ke Bus Stop No. 4 (Bus Stop Ogi) dan dari sini kene tunggu pula bas Green Line untuk ke Saiko Iyashino-Sato Nenba di Bus Stop No. 68. Agak lama juga kami di Ogi menunggu bas Green Line di dalam hujan. Bus stop kat sini cuma tiang je, takde tempat berteduh. Nasib baik hujan tak selebat mana. Jauh gak perjalanann menuju destinasi kami menyusuri jalan di persisir Tasik Kawaguchiko dan Tasik Saiko merentasi kampung-kampung di sana. Walau apapun, permandangannya sangat menarik.

Di Bus Stop Ogi (Oggy and the Cockroaches), menunggu bas Green Line 
untuk ke Saiko Iyashino-Sato Nenba di dalam hujan. 
Ada sebuah restoran Halal Muslim di sini

Inilah rupanya Bus Stop di kawasan Fuji ni. 
Belakang tu ada restoran Halal Muslim

Sampai sahaja di destinasi, semasa menuruni bas, hidung terbau sesuatu yang sangat sedap. Bau satu makanan yang rasanya dah lama aku tak makan, ubi bakar. Kami terus ke kawasan kedai berhampiran dan jumpa juga pakcik yang menjual ubi bakar itu. Siap ada tulis 'Ubi Bakar' lagi kat depan gerai dia. Harga ubi dijual mengikut berat, dan kami amil 2 bijik sederhana besar pada harga JPY700. Kalau convert ke RM memang mahal, oleh itu, rentikan lah. Kemudian kami berhenti plak di gerai sebelah, yang menjual ikan ayu bakar dan lain-lain produk tempatan seperti madu bersama lebah-lebahnya. Oleh kerana ikan ayu itu nampak sedap walaupon tak berapa nak ayu rupenye, kami beli seekor yang harganya super mahal, JPY500 seekor sebesar ikan selar kuning sahaja. Nak rasa punya pasal, kami beli juga dan pakcik tu siap ajar cara nak makan supaya tak ketulangan. Kami duduk di sebuah kerusi di situ sambil menikmati sweet potato dan ikan ayu bakar yang mahal itu. Sweet potato sangat sweet rasanya, dan ikan ayu tu sangat sedap rupanya. Tak cukup sekor kongsi 3 orang, kami beli lagi sekor ikan ayu itu, JPY500 lagi. Hahaha...


Sedang leka menikmati sweet potato bakar bersama ikan ayu bakar yang lazat

Inilah dia ikan ayu bakar yang tak ayu pon tapi sedap. 
Mesti cuba bila di Saiko Iyashino-Sato Nenba

Selesai menghabiskan satu setengah ubi bakar (aku makan setengah je, setengah lagi aku simpan untuk makan kemudian) dan 2 ekor ikan ayu, kami berjalan kaki menuju kampung Saiko Iyashino-Sato Nenba. Sedang kami berjalan itu, baru aku teringat yang perkampungan ni adalah salah satu lokasi untuk melihat Gunung Fuji. Aku toleh ke belakang, tersergam Gunung Fuji. Perkataan pertama yang terlintas di hati aku, 'BESARNYA!!!'. Memang, gunung yang berada depan mata aku sangat besar, magnificent and majestic. Tak sangka dapat juga melihat Gunung Fuji. Gunung Fuji sangat clear masa tu tanpa sebarang awan. Apa lagi.... selfie time!! Bergambar sepuasnya.



Pandangan pertama Gunung Fuji yang sangat menakjubkan kami.
Syukur dapat juga melihatnya

Setelah puas berselfie bagai, kami menuju ke perkampungan itu. Bayaran masuk adalah sebanyak JPY350 (kalau tak silap) untuk seorang. Memang best perkampungan ni, betul-betul authentic zaman lama Jepun yang berlatar belakangkan Gunung Fuji. Rumah-rumah semua dijaga rapi. Bagi aku inilah tempat yang paling best aku yang aku datang di kawasan Fuji ni. Wajib lawat. Kalau kamu datang awal sedikit, mesti lebih banyak aktiviti, tetapi kami dah sampai agak lewat. Layan je gambar...

Pintu masuk ke perkampungan Saiko Iyashino-Sato Nenba






Beberapa gambar yang sempat di ambil...

Bergambar bersama Gunung Fuji

Mencuba permainan tradisional Jepun. Susah jugak nak jalan guna mende ni rupanya...


Ini permainan tradisional juga, entah aper namanye. Raket macam raket ping-pong
buah dia macam bulu tangkis... susah jugak nak dapat even 2-3 pukulan

Sisa-sisa salji di sini. Dapat la jugak main salji.. hehehe

Tidak puas berada di Saiko Iyashino-Sato Nenba, kami terpaksa bergerak ke destinasi akhir kami disekitar kawasan Fuji ni iaitu The Ice Cave. Kat sini ada banyak gua yang boleh dilawati seperti Bat Cave, Wind Cave dan Lava Cave, tetapi kami memilih untuk ke Ice Cave. Dari Saiko Iyashino-Sato Nenba kami akan naik semula bas Green Line dan akan turun di Bus Stop No. 71 dan naik pula bus Blue Line untuk ke Bus Stop No. 116 (sebenarnya satu stop je). Bila turun saja bas di Bus Stop No. 71 tu, ada seorang lelaki, tak pasti lah sama ada dia tourist atau pekerja di situ, bertanya sama ada kami hendak ke Bat Cave? Beliau mengatakan bahawa Bat Cave telah ditutup. Kami mengatakan bahawa kami ingin ke Ice Cave dan beliau mengatakan bahawa Ice Cave juga telah ditutup untuk hari itu. Kecewa sekejap, ditutup mungkin hari sudah mulai gelap. Kami naek semula bus Green Line itu untuk kembali ke Kawaguchiko Station. 

Gambar di dalam Ice Cave yang kami tak dapat pergi... ihsan Mr. Google

Sepanjang perjalanan pulang, sekali lagi kami disajikan dengan permandangan indah sepanjang persisir Tasik Saiko dan Tasik Kawaguchiko dan kawasan-kawasan perkampungan berhampiran. Menghampiri pekan Kawaguchiko, sekali lagi kami dapat melihat Gunung Fuji, tapi nak amik gambar dalam bas tidak berjaya disebabkan tingkap yang berkabus. Sampai sahaja di Kawaguchiko Station, hari sudah pon gelap. Kami terus le Lawson, sebuah kedai serbaneka ala-ala 7E untuk print tiket ke Disneyland yang akan kami gunakan esok. Tiket itu kami beli melalui 11street.com dan hanya diemelkan kepada pembeli sehari sebelum tarikh yang akan gunakan. Makanya, tiket tu kami dapat hari ini untuk digunakan hanya hari esok sahaja (itu tarikh yang kami bagi). Selesai urusan di Lawson, kami ke 7E berhampiran pula untuk membeli sedikit makanan kerana perut sudahpon terasa lapar. Kami hanya membeli kek strawberry dan roti sahaja. Nak beli mee segera, tak pasti plak tahap kehalalannya kerana semuanya dalam tulisan yang asing bagi kami, dan of koz tiada cop halal Jakim.

Tiket Tokyo Disneyland yang dibeli dari 11street.com
diprint di Lawson Kawaguchiko. Dah ternampak ada Lawson
kat situ, tu yang kiteorang terus print kat situ jer

Memandangkan masing-masing dah keletihan dan kesejukan, kami lepak di Kawaguchiko Station dan makan bekalan yang dibeli tadi. Teralas juga perut sehingga menantikan sampai ke rumah nanti. Bas kami balik ke Tokyo dijadualkan pada pukul 7.30 malam, bas terakhir untuk hari itu. Dan kami tiba dengan selamat di Shibuya Mark City lebih kurang pukul 10.00 malam. Kami segera mengambil train dari Shibuya Station untuk ke Shinjuku Station seterusnya ke Komae Station.

Semasa di dalam train pulang ke Komae, sahabat terperasan bahawa beliau telah ketinggalan handphone beliau di tandas di Shibuya Mark City. Kami berfikir untuk balik ke Shibuya Mark City adalah jauh dan dikhuatiri perkhidmatan train juga sudah tamat pada malam itu. Hendak tak hendak kami teruskan juga ke Komae. Sampai di Komae Station, kami mendapatkan bantuan petugas di stesen itu. Petugas itu mencadangkan untuk kami melaporkan sahaja kepada polis berhampiran Shibuya Mark City. Kami cuba menelefon pihak pengurusan Shibuya Mark City tetapi komputer yang jawab dalam bahasa Jepun, memang tak paham lah. Akhirnya, kami mendapatkan bantuan di Pondok Polis (Koban) berhampiran stesen itu. Walaupon mengalami masalah komunikasi dengan pihak polis di Koban itu, tetapi polis-polis itu bersungguh-sungguh untuk membantu (yang peliknya dia tak tau kat mana Shibuya Mark City tuh). Akhirnya, mereka mencadangkan untuk kami membuat laporan di Koban berhampiran Shibuya Mark City sebab apa-apa barang yang ditemui selalunya akan diserahkan di Balai Polis berhampiran. Nampaknya, esok sahajalah laporan boleh dibuat.

... bersambung

No comments:

Post a Comment